Bumbung sekolah diterbangkan ribut, 6 murid cedera

KEADAAN bumbung blok Sekolah Agama Selesa Jaya yang tercabut dalam kejadian ribut petang tadi. – Foto Ihsan JPAM

JOHOR BAHRU: Seramai enam murid Sekolah Agama Bandar Selesa Jaya cedera selepas bumbung di sebuah blok sekolah berkenaan tercabut dalam kejadian ribut di kawasan itu, petang tadi. Dalam kejadian kira-kira jam 3.45 itu, semua murid yang cedera dibawa ke Hospital Sultanah Aminah (HSA) di sini bagi mendapatkan rawatan lanjut. Pegawai Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM) Johor Bahru, Lt (PA) Mohd Aziz Jupri, berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian pada 3.49 petang tadi. “Sejurus menerima panggilan kecemasan itu, sebuah ambulans, pacuan empat roda dan dua motosikal bersama kekuatan lapan anggota di kerah ke lokasi kejadian. “Sehingga kini, tiada kemalangan jiwa dilaporkan akibat kejadian berkenaan,” katanya dalam satu kenyataan di sini.

Sumber: Berita Harian