60 pelajar YIK yang transit di Turki selamat

DATUK Dr Mohamed Fadzli Hassan. – Foto fail NSTP/Owee Ah Chun

KOTA BAHARU: Enam puluh pelajar Yayasan Islam Kelantan (YIK) yang sedang transit di Turki sebelum memasuki Mesir dalam keadaan selamat. Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Insan, Pendidikan dan Pengajian Tinggi negeri, Datuk Dr Mohamed Fadzli Hassan, berkata semua pelajar itu yang berusia antara 18 dan 19 tahun tiba di Turki sejak Khamis lalu dengan menaiki penerbangan Turkish Airlines. “Pelajar berkenaan turut diiringi beberapa guru pengiring dan semuanya dilaporkan dalam keadaan selamat dan akan dibawa keluar dari Turki pada bila-bila masa untuk meneruskan perjalanan mereka ke Mesir,” katanya. Mohamed Fadzli, berkata 60 pelajar berkenaan akan menyambung pelajaran mereka dalam pelbagai bidang seperti perubatan dan pengajian Islam di beberapa universiti di Mesir, termasuk Universiti al-Azhar dan Universiti Iskandariah.

Sumber: Berita Harian