UTM tamatkan kontrak pensyarah Gagal ikuti modul subjek Tamadun Islam dan Tamadun Asia

IDRIS JUSOH  melancarkan tiga buku  Pelan Pembangunan Pendidikan

IDRIS JUSOH melancarkan tiga buku Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia 2015-2025 di Putrajaya, semalam. Turut kelihatan Mary Yap Kain Ching dan Zaini Ujang (dua dari kiri). BERNAMA

PUTRAJAYA 14 Julai – Universiti Teknologi Malaysia (UTM) telah menamatkan perkhidmatan seorang pensyarah kontraknya kerana gagal mengikuti modul pengajaran yang ditetapkan semasa mengajar subjek Tamadun Islam dan Tamadun Asia (Titas) di universiti tersebut.

Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Idris Jusoh berkata, keputusan itu dibuat semalam selepas jawatankuasa siasatan dalaman yang ditubuhkan mengesahkan pensyarah tersebut memberi pandangannya sendiri berkaitan agama Hindu dan Sikh sehingga menimbulkan kontroversi.

‘‘Universiti dan kementerian telah menyediakan panduan pengajaran kepada semua pensyarah, tetapi dalam hal ini, dia tidak mengikut garis panduan untuk subjek tersebut.

“Saya minta semua Naib Canselor selepas ini memantau kaedah pengajaran para pensyarah agar apa yang diajar itu selari dengan panduan pengajian,” katanya selepas melancarkan tiga buah buku siri panduan menerusi Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia 2015-2025 Pendidikan Tinggi di sini hari ini. Yang turut hadir timbalan menterinya, Datuk Mary Yap Kain Ching dan Ketua Setiausaha kementerian tersebut, Datuk Seri Dr. Zaini Ujang.

Jun lalu, sesi pengajaran Titas seorang pensyarah UTM menjadi viral di laman sosial kerana didakwa dalam pengajarannya menyatakan Islam mengajar masyarakat Hindu tentang pen­tingnya kebersihan tubuh badan dan penjagaan kesihatan.

Dalam perkembangan lain, Idris memberitahu, semua institusi pengajian tinggi (IPT) awam dan swasta akan diterapkan sesi pe­nerangan berhubung isu jihad dan baiah dari semasa ke semasa.

Menurutnya, usaha itu untuk memastikan semua pensyarah dan penuntut tidak mudah terpengaruh dengan propaganda kumpulan pengganas Daesh yang akhir-akhir ini menjadikan IPT sebagai sasaran mereka memperluaskan pengaruhnya.

“Pada 20 Julai ini, kementerian akan mengadakan perjum­paan dengan semua Naib Canselor pusat pengajian tinggi awam dan swasta bagi membincangkan mengenai kaedah-kaedah dan tindakan yang akan diambil untuk menangani isu kumpulan pengganas itu,” katanya.

Terdahulu, dalam majlis ber­kenaan, beliau melancarkan tiga buah buku panduan iaitu Enhancing Academic Productivity and Cost Efficiency (Silver Book); Strengthening Academic Career Pathway and Leadership Development (Orange Book) dan Enhancing University Income Generation, Endowment and Waqf (Purple Book).

Dalam ucapannya, beliau memberitahu, Silver Book menekankan produktiviti akademik serta keberkesanan kos, manakala Purple Book bertujuan membantu program transformasi universiti dalam menghasilkan pendapatan dan seterusnya mela­bur dalam aktiviti penyelidikan.

– Sumber : Utusan online

%d bloggers like this: