RM2.2 juta laksana Program Inspirasi UPSR Yapeim 2016

ABIBULLAH SAMSUDIN

ABIBULLAH SAMSUDIN

KUALA LUMPUR 13 Julai – Yayasan Pembangunan Ekonomi Islam Malaysia (Yapeim) memperuntukkan sebanyak RM2.2 juta bagi melaksanakan Program Inspirasi Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) 2016 yang akan bermula minggu depan di seluruh negara.

Ketua Pengarah Yapeim, Datuk Abibullah Samsudin berkata, matlamat utama penganjuran program tersebut adalah untuk meningkatkan pencapaian akademik pelajar dalam UPSR khususnya pelajar luar bandar.

Menurutnya, seramai 43,500 pelajar yang terdiri daripada pelajar kurang berkemam­puan dan berpotensi untuk lulus dalam UPSR bakal mendapat manfaat daripada program tersebut.

“Pelajar akan diberi tip dan teknik menjawab soalan UPSR sebulan sebelum peperiksaan tersebut berlangsung.

“Melalui program ini, ia secara tidak langsung meningkatkan kesedaran dan motivasi ibu bapa dan pelajar ke arah mencapai kejayaan yang lebih cemerlang dalam bidang akademik dan sosial,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.

Menurut Abibullah, Yapeim me­ngambil pendekatan Strategi Lautan Biru Kebangsaan (NBOS) bersama Kementerian Pendidikan dalam menjayakan program tersebut.

“Kementerian melalui Ja­ba­­­tan Pendidikan Negeri dan Pejabat Pendidikan Daerah akan turut memantau perjalanan dan pelaksanaan program yang melibatkan 145 buah sekolah itu termasuk mengenal pasti senarai kumpulan sasar, para pence­ramah, motivator serta lokasi program,” ujarnya.

Dalam perkembangan lain, beliau berkata, pelbagai program dilaksanakan Yapeim bagi membantu golongan sasaran antaranya Program Inspirasi Ramadan yang melibatkan kira-kira seramai 20,000 penerima yang terdiri daripada anak yatim, miskin dan badan yang menjaga hal ehwal anak yatim.

“Majoriti penerima sumbangan terdiri daripada mereka yang kurang mendapat perhatian atau sumbangan daripada mana-mana pihak sebelum ini.

“Selain itu, skim Ar-Rahnu Yapeim, projek emas Yapeim dan Program Halal-Point antara program yang dijalankan pihaknya untuk melonjakkan ekonomi masyarakat,” ujarnya.

– Sumber : Utusan online

%d bloggers like this: