APFEC 2016 bantu transformasi pendidikan awal kanak-kanak

KUALA LUMPUR: Forum Dasar Asuhan dan Pendidikan Awal Kanak-Kanak Rantau Asia Pasifik (APFEC) 2016 diyakini dapat membantu Malaysia dalam menjayakan transformasi pendidikan awal kanak-kanak yang diberi penekanan dalam Rancangan Malaysia Ke-11 (RMK11). Bertemakan Pengaruh Transformasi Pendidikan Awal Kanak-Kanak: Inovasi Untuk Keterangkuman dan Kualiti, forum itu akan berlangsung di Hotel Marriot, Putrajaya pada 19 hingga 21 Julai ini. Kementerian Pendidikan (KPM) dalam satu kenyataan di sini berkata, kerajaan merangka tindakan yang jelas dan selari dengan keperluan perkembangan awal kanak-kanak di negara ini, sejajar Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia 2013-2025 meliputi peringkat prasekolah hingga lepasan sekolah menengah. Mengikut kenyataan itu, forum berkenaan disertai 800 peserta dari dalam dan luar negara bertujuan merangka strategi inovatif ke arah meningkatkan kualiti asuhan dan pendidikan awal kanak-kanak. Forum yang akan disertai 46 negara rantau Asia Pasifik itu akan menumpukan isi perbincangan dari segi kualiti membabitkan aspek kurikulum, latihan guru, polisi dan fizikal sekolah atau tempat pembelajaran. APFEC 2016 ini juga akan menyaksikan 54 pembentangan termasuk 31 dari Malaysia berkaitan pendidikan awal kanak-kanak (ECCE) mencakupi dua ucap utama, empat kertas sesi plenari dan 44 pembentangan untuk sesi selari. Jurucakap KPM berkata, forum turut mengkaji semula kemajuan negara terbabit dalam membangun dan melaksanakan dasar ECCE, termasuk pengemaskinian tindakan utama mereka yang dikenal pasti semasa forum yang pertama. Katanya, ia juga akan memperlihatkan inovasi dalam ECCE berkaitan dasar dan perkhidmatan pembiayaan, mekanisme penyelarasan, galakan terhadap perkembangan holistik dan hasil pembelajaran, pendekatan pedagogi dan pembangunan sumber manusia. Selain KPM, forum ini turut dianjur bersama oleh Pertubuhan Saintifik, Pendidikan dan Kebudayaan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO), Tabung Kecemasan Kanak-Kanak Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (UNICEF) dan Rangkaian Pendidikan Awal Kanak-Kanak Asia Pasifik. INFO 800 – peserta forum 46 – negara 54 – kertas kerja

Sumber: Berita Harian