JPN Pahang arah semua sekolah periksa peralatan sukan

PENGARAH Jabatan Pendidikan Pahang, Datuk Rosdi Ismail.

KUANTAN: Jabatan Pendidikan Pahang mengarahkan semua pengurusan sekolah membuat pemeriksaan serta merta ke atas peralatan sukan masing-masing. Pengarahnya, Datuk Rosdi Ismail, berkata arahan itu perlu dipatuhi sebagai langkah segera yang perlu diambil bagi memastikan keselamatan pelajar sekolah di negeri ini terjamin. “Pihak sekolah kena peka dengan perkara ini dan saya sudah arahkan kepada semua guru, terutamanya guru besar dan pengetua sekolah di negeri ini untuk ambil langkah pengawasan awal sebelum berlaku kejadian tidak diingini. “Kalau ada peralatan sukan yang rosak atau dalam keadaan tidak baik… tidak perlulah pakai (guna)… saya harap perkara ini dapat diberi perhatian serius oleh semua guru di Pahang,” katanya ketika dihubungi BH, di sini, sebentar tadi. Beliau mengulas insiden menimpa pelajar Tingkatan Dua Sekolah Menengah Tengku Indera Petra 2, Gua Musang, Kelantan, Nik Muhammad Lutfi Kamarudin, yang meninggal dunia akibat cedera parah di kepala selepas dihempap tiang gol di padang sekolah itu, jam 9 pagi kelmarin.

Sumber: Berita Harian