IS: Pelajar Johor 
di Asia Barat dipantau

ABD. MUTALIP ABD. RAHMAN (kanan) menyampaikan sumbangan kepada

ABD. MUTALIP ABD. RAHMAN (kanan) menyampaikan sumbangan kepada seorang pelajar dalam Majlis Amanat Menteri Besar Johor dan Penyampaian Sumbangan Kepada Pelajar Johor Yang Melanjutkan Pelajaran ke Mesir Sesi 2016/2017 di Bangunan Sultan Ismail di Iskandar Puteri, semalam. UTUSAN/MOHD HAZROL ZAINAL

ISKANDAR PUTERI 11 Julai – Lebih 1,000 penuntut tajaan kerajaan Johor di Asia Barat ketika ini akan dikenakan tindakan undang-undang dan diberhentikan pengajian jika terlibat dengan kumpulan militan Negara Islam (IS).

Pengerusi Jawatankuasa Agama negeri, Abd. Mutalip Abd. Rahman berkata, perkembangan mereka terutama di Mesir dan Jordan dipantau setiap masa untuk memastikan mereka bebas pe­ngaruh IS atau sebarang fahaman yang bersifat radikal.

“Kita mempunyai pegawai khas yang memantau mereka bagi pihak kerajaan negeri dan juga pegawai di pihak Majlis Agama Islam Negeri Johor (MAINJ) termasuk bekerjasama dengan pihak kedutaan yang menghantar laporan setiap masa.

“Kita berkongsi maklumat dengan polis dan pasukan ke­selamatan. Kita juga nasihatkan mereka supaya tidak melawat laman web atau media sosial berkaitan kegiatan IS atau seumpamanya, fokuskan terhadap pelajaran sahaja,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas Maj­lis Ama­nat Menteri Besar Johor dan Penyampaian Sumbangan Kepada Pelajar Johor Yang Me­lanjutkan Pelajaran ke Mesir Sesi 2016/2017 di Bangunan Sultan Ismail di sini hari ini.

Yang turut hadir Mufti Johor, Datuk Md. Tahrir Samsudin; Penasihat MAINJ, Datuk Nooh Gadut dan Ketua Pegawai Eksekutif MAINJ, Mohd. Rofiki Shamsudin.

Abd. Mutalip berkata, penuntut terbabit yang dibiayai MAINJ harus sedar tanggungjawab sebenar selain amanah mereka terhadap agama dan rakyat Johor selepas dipilih melanjutkan pelajaran ke Asia Barat.

Beliau berkata, sebelum ini terdapat penuntut dari negeri ini yang cenderung fahaman ekstrem tetapi pihaknya telah memanggil penuntut itu termasuk ibu bapanya untuk diberikan nasihat kerana mahu memberikan peluang kepada mereka.

Mengenai beberapa umat Islam di negeri ini yang terlibat dengan kegiatan IS, beliau berkata, perkara tersebut sentiasa dipantau dan keadaan adalah terkawal walaupun Johor dikatakan ‘pengeluar’ militan IS di negara ini.

“Rakyat negara ini yang terlibat kegiatan kumpulan IS biasa­nya terpengaruh menerusi media sosial dan mungkin mereka yang terlibat ini tidak pernah mengikuti sistem pendidikan agama kita dan terikut-ikut pengaruh luar,” ujarnya.

– Sumber : Utusan online

%d bloggers like this: