80% sekolah di Terengganu sudah tubuh alumni

SHAFRUDDIN ALI HUSSIN

KUALA TERENGGANU 11 Julai – Hampir 80 peratus sekolah-sekolah di Terengganu sudah menubuhkan persatuan alumni masing-masing ke arah membantu dan membangunkan institusi pendidikan di negeri ini.

Pengarah Pendidikan ne­geri, Shafruddin Ali Hussin berkata, alumni terbabit juga didapati bergerak aktif dan ia merupakan satu perkemba­ngan yang baik serta positif, mi­salnya menerusi sambutan Hari Guru pe­ringkat ne­geri baru-baru ini dan tahun sebelumnya diikuti Majlis Hari Raya Aidilfitri peringkat sekolah yang diadakan serentak mulai tahun lalu.

“Daripada peratusan itu, alumni hanya tiada di sekolah Orang Asli dan kurang murid bagaimanapun, gerakan untuk mewujudkan persatuan tersebut di seluruh institusi tetap diteruskan.

“Usaha itu selaras dengan elemen keempat dalam agenda Memperkasakan Transfomasi Pendidikan Negeri iaitu Transformasi Sekolah yang memperincikan saranan kepada pengetua atau guru besar untuk mengerakkan serta memperkasakan alumni,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

Beliau mengulas cadangan Menteri Besar, Ahmad Razif Abdul Rahman agar semua sekolah di negeri ini mewujudkan alumni masing-masing dalam memastikan bekas-bekas pelajar bersatu hati sekali gus dapat membantu meringankan bebanan pihak sekolah dan Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG).

Selain itu, katanya, inisiatif itu juga merupakan salah satu cara untuk mengenang jasa sekolah dan guru yang selama ini te­lah mendidik serta me­nerapkan ilmu tanpa rasa jemu kepada para pelajar.

“Saya akan ketengahkan cadangan ini kepada Pengarah Pendidikan supaya ia dipanjangkan ke sekolah-sekolah lain kerana dengan cara ini kita dapat mengajar masyarakat konsep membalas budi iaitu memberi semula kepada pihak sekolah khususnya bagi membantu para pelajar yang kurang bernasib baik,” katanya.

– Sumber : Utusan online