IPT sambut baik Sistem pantau pelajar elak terjebak militan

KUALA LUMPUR 9 Julai – Cadangan kerajaan untuk melaksanakan sistem yang mengenakan peraturan kepada pelajar, terutamanya penuntut warga asing di institusi pengajian tinggi (IPT) bagi memantau kegiatan militan dalam kalangan mereka, disifatkan sebagai langkah terbaik dan proaktif untuk membanteras penularan fahaman ektremisme secara menyeluruh.

Sambil menyambut baik inisiatif itu, Naib Canselor Universiti Malaya (UM), Profesor Datuk Dr. Mohd. Amin Jalaludin berkata, pihaknya juga sedia bekerjasama dengan kementerian berkaitan untuk memastikan pelajar tidak terjebak dengan kegiatan tersebut.

Justeru, beliau berkata, UM mengambil pendekatan dengan mempergiatkan lagi penganjuran pelbagai aktiviti termasuk me­ngadakan ceramah sebagai langkah pencegahan selain mendedahkan kesan dan bahaya ideologi itu kepada masyarakat dan negara.

“Demi kepentingan generasi muda, kami melihat cadangan tersebut amat wajar kerana golongan muda sekarang mudah terpengaruh dengan aktiviti-aktiviti sedemikian di media sosial. Jadi, pelaksanaan sistem itu diyakini mampu menangani penularan kegiatan militan itu.

“Malah, UM dari semasa ke semasa komited menganjurkan pelbagai aktiviti untuk menangani isu militan Negara Islam (IS) dan kita akan mempergiatkan lagi dalam usaha memastikan kegiatan militan ini dapat dibendung secara menyeluruh,” katanya kepada Mingguan Malaysia ketika dihubungi di sini hari ini.

Semalam, Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Idris Jusoh berkata, pihak­nya akan bekerjasama dengan Kementerian Dalam Negeri bagi melaksanakan sistem tersebut dalam usaha memastikan anasir kegiatan militan tidak menular dalam kalangan pelajar yang menuntut di IPT di negara ini.

Dengan langkah itu juga katanya, kementeriannya dapat memberi tumpuan kepada setiap pelajar IPT terutamanya dari luar negara yang datang belajar di negara ini secara lebih teratur.

Dalam pada itu, Naib Canselor Universiti Utara Malaysia (UUM), Prof. Datuk Dr. Moha­med Mustafa Ishak berkata, usaha berterusan kerajaan dalam mencegah fahaman songsang itu wajar dilaksanakan agar dapat mengelakkan golongan muda khususnya pelajar terjerumus dalam gerakan militan terbabit.

Malah, beliau turut mencadangkan sistem memantau kegiatan militan juga perlu dilaksanakan di peringkat sekolah menengah lagi kerana golongan tersebut mudah mendapat akses dalam talian dan media sosial.

“Kes serangan baru-baru ini melibatkan pelajar IPT itu mungkin secara kebetulan dan tidak ada kena mengena dengan institusi berkenaan. Kebarangkalian pelajar terbabit telah direkrut awal atau mendapatkan maklumat menerusi dalam talian atau media sosial yang dijadikan sebagai medan perhubungan.

“Jadi selagi mana-mana individu mempunyai akses dalam talian atau media sosial, mereka boleh berkomunikasi sekali gus mendapatkan maklumat daripada ahli pergerakan militan,” ujarnya.

“Justeru, sistem memantau itu bukan sahaja perlu difokuskan kepada IPT malah di peringkat sekolah menengah lagi kerana golongan tersebut mudah mempunyai akses kepada media sosial,” katanya.

– Sumber : Utusan online

%d bloggers like this: