Suntikan vaksin mungkin diwajibkan ke atas pelajar

MAHDZIR KHALID / FORUM DASAR ASUHAN

PUTRAJAYA 29 JUNE 2016. Menteri Pendidikan, Datuk Seri Mahdzir Khalid semasa sidang media selepas majlis Pra Pelancaran Forum Dasar Asuhan dan Pendidikan Awal Kanak-kanak Rantau Asia Pasifik 2016 di Kementerian Pendidikan. NSTP/AHMAD IRHAM MOHD NOOR

 

KUALA NERANG: Kementerian Pendidikan bercadang mewajibkan suntikan vaksin kepada semua pelajar selewat-lewatnya tahun depan. Menterinya, Datuk Seri Mahdzir Khalid, berkata pihaknya masih menunggu laporan penuh berkaitan suntikan vaksin dalam melindungi pelajar daripada wabak penyakit.

“Kita akan mewujudkan pasukan khas dianggotai pihak berkepentingan termasuk pakar perubatan dan badan bukan kerajaan (NGO) untuk bertukar pandangan dan pendapat sebelum dibentangkan ke Kabinet.

“Saya berpendapat suntikan vaksin perlu diwajibkan tetapi kita ikut prosedur dan menunggu laporan lengkap Kementerian Kesihatan selepas hari raya.

“Kalau boleh, saya mahu ia diwajibkan tahun ini atau paling lewat awal tahun depan,” katanya selepas majlis sumbangan hadiah peringkat Parlimen Padang Terap di sini, hari ini.

Beliau berkata demikian ketika mengulas perkembangan perbincangan antara Kementerian Pendidikan dan Kementerian Kesihatan mengenai suntikan vaksin kepada pelajar.

Baru-baru ini, seorang kanak-kanak perempuan berusia tujuh tahun meninggal dunia akibat dijangkiti bakteria difteria di Melaka, manakala seorang kanak-kanak berusia dua tahun turut meninggal dunia di Kedah akibat bakteria sama.

Sumber: Berita Harian