20 pelajar SMK Megat Dewa keracunan makanan

keracunan_makanan.transformed

 

ALOR SETAR: Seramai 20 pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Megat Dewa di Kodiang, dekat sini, mengalami keracunan makanan selepas menikmati kari kambing, ayam golek dan sate pada majlis berbuka puasa serta moreh di sekolah itu.

Pengarah Kesihatan Kedah, Datuk Dr Norhizan Ismail, berkata pelajar Tingkatan Satu hingga Tingkatan Empat itu mengalami pening, sakit perut dan cirit-birit kira-kira jam 4 pagi semalam, sebelum dihantar ke Klinik Kesihatan Tunjang, dekat sini bagi menerima rawatan.

Katanya, semua pelajar terbabit hanya dirawat sebagai pesakit luar dan tiada kes serius atau penambahan mangsa dikenal pasti.

“Siasatan awal Pejabat Kesihatan Kubang Pasu mendapati 118 pelajar bersama lima guru menghadiri jamuan berbuka puasa di sekolah itu, kelmarin dengan menu yang disediakan ialah kari kambing dan ayam golek, manakala sate dihidang ketika moreh.

“Semua juadah ditempah daripada penyedia makanan luar. “Siasatan mengalami sedikit kesukaran apabila kebanyakan pelajar yang tinggal di asrama, sudah pulang ke rumah masing-masing tetapi maklumat awal memaklumkan tiada tanda makanan itu bertukar rasa, berlendir atau basi,” katanya.

Norhizan berkata, pihaknya sudah melawat pembekal ayam golek dari Jitra, manakala siasatan dua lagi juadah akan diteruskan.

Sumber : Berita Harian