Mahasiswa disaran jadi ejen online PTPTN

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri merangkap Pengerusi Biro IPTS UMNO Malaysia, Datuk Razali Ibrahim (tengah) dan Pengerusi PTPTN, Datuk Shamsul Anuar Nasarah (berdiri, lima dari kiri) beramah mesra bersama mahasiswa semasa menghadiri sesi Penerangan PTPTN dan Majlis Berbuka Puasa Bersama Mahasiswa Institusi Pengajian Tinggi (IPTS) sekitar Lembah Klang di Dewan Banquet Menara Felda, Kuala Lumpur. – Foto Ghazali Kori

KUALA LUMPUR: Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) menggalakkan mahasiwa di institusi pengajian tinggi (IPT) mendaftarkan diri sebagai ejen online PTPTN mempromosikan produk agensi berkenaan. Pengerusi PTPTN, Datuk Shamsul Anuar Nasarah, berkata dengan menjadi ejen online Skim Simpanan Pendidikan Nasional (SSPN) dan SSPN-i Plus, penuntut terbabit berpeluang menjana pendapatan sampingan. Beliau berkata, terdapat dua kategori ejen iaitu Rakan Niaga Al-Filiate (RNA) dan Ejen Pemasaran Online (EPO), dengan setiapnya akan menikmati komisen masing-masing sebanyak 15 peratus dan 25 peratus daripada amaun bagi membuka akaun dua produk itu. “Selain menikmati komisyen, ejen ini akan melalui jadual kerja yang cukup fleksibel, di samping tidak membabitkan transaksi tunai, menggalakkan masyarakat menabung serta tanpa modal perniagaan. “Kaedahnya cukup mudah, hanya berdaftar dengan PTPTN sebagai ejen,” katanya ketika ditemui pada Majlis Penerangan PTPTN dan Majlis Berbuka Puasa bersama mahasiswa IPT swasta di Menara FELDA, di sini, sebentar tadi. Yang turut hadir, Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, yang juga Pengerusi Biro IPTS UMNO, Datuk Razali Ibrahim. Mahasiswa yang berminat, boleh mendaftar menerusi laman sesawang https://sspniplusonline.ptptn.gov.my/affiliate. Shamsul yang juga Ahli Parlimen Lenggong, berkata setakat ini, seramai 1,309 ejen dari pelbagai latar belakang sudah mendaftarkan dan PTPTN menyasarkan 4,000 ejen dapat didaftarkan menjelang hujung tahun ini. Dalam perkembangan berkaitan, beliau memberitahu, PTPTN sudah meluluskan sebanyak 2.49 juta pinjaman kepada pelajar, membabitkan peruntukan RM56.39 bilion sehingga April tahun ini. Daripada jumlah terbabit, Anuar berkata, 1.69 juta peminjam terdiri daripada pelajar di Universiti Awam (UA) dengan nilai pinjaman RM29.82 bilion, manakala 797,000 lagi adalah pelajar IPT swasta, membabitkan nilai RM26.57 bilion.

Sumber: Berita Harian