Iman Besar Masjid Al-Azhar hadir majlis khatam al-Quran

SYEIKH Mohamad Fawzi Abdel Gawad Al-Barbari.

TANAH MERAH: Kira-kira 600 pelajar dan guru Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Belimbing, di sini, teruja apabila majlis khatam al-Quran peringkat sekolah berkenaan dihadiri Iman Besar Masjid Al-Azhar, Mesir, Syeikh Mohamad Fawzi Abdel Gawad Al-Barbari. Beliau turut memperdengarkan bacaan ayat al-Quran dan mengetuai 34 peserta khatam al-Quran. Pengetua SMK Belimbing, Nik Muhamad Nik Lib, berkata Syeikh Mohamad Fawzi turut menyampaikan tazkirah ringkas kepada pelajar mengenai kelebihan Ramadan. “Kami bertuah kerana berpeluang bersama Imam Besar Masjid Al-Azhar pada majlis ini,” katanya selepas merasmikan rogram itu di Dewan Datuk Hashim Safin, di sini, hari ini. Nik Muhamad berkata, kehadiran Syeikh Mohamad Fawzi itu menyuntik semangat pelajar untuk membaca al-Quran sebagai amalan sebelum memulakan sesi pembelajaran setiap hari. “Sejarah membuktikan tokoh Islam lampau mencipta kecemerlangan kerana mereka adalah penghafal al-Quran dan contoh itu ingin diterapkan pada pelajar,” katanya. Sementara itu, Syeikh Mohamad Fawzi, yang pertama kali ke negara ini, tertarik dengan sifat penduduk yang berakhlak mulia berbanding negara lain pernah dikunjunginya. Beliau berada di daerah ini kerana memenuhi jemputan sebagai imam tarawih di Masjid Ismail Petra, Tanah Merah sepanjang Ramadan.

Sumber: Berita Harian