800 peserta tempatan, antarabangsa sertai APFEC 2016

Menteri Pendidikan, Datuk Seri Mahdzir Khalid. -Foto Eizairi Shamsudin

PUTRAJAYA: Seramai 800 peserta dari dalam dan luar negara termasuk Menteri Pendidikan dan pegawai kanan kementerian itu akan menyertai Forum Dasar Asuhan dan Pendidikan Awal Kanak-Kanak Asia Pasifik 2016 (APFEC 2016) pada 19 hingga 21 Julai ini, di sini. Program itu anjuran Kementerian Pendidikan, Pertubuhan Saintifik, Pendidikan dan Kebudayaan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO), Tabung Kecemasan Kanak-kanak Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (UNICEF) dan Rangkaian Pendidikan Awal Kanak-kanak Asia Pasifik (ARNEC). Pengisian program adalah pembentangan 50 kertas kerja berkaitan pendidikan awal kanak-kanak membabitkan dua ucap utama, empat sesi plenari dan 44 pembentangan sesi selari. APFEC bermatlamat menyediakan platform untuk penggubal dasar peringkat tertinggi di Asia Pasifik berkongsi pengalaman dan melaksanakan dasar berkaitan pendidikan awal kanak-kanak (ECCE) dan membincangkan strategi inovatif bagi meningkatkan ekuiti dan kualiti ECCE. Fokus forum adalah persetujuan penghasilan Deklarasi Putrajaya mencakupi strategi, mekanisme pemantauan serantau dan peranan negara mencapai Sasaran Pembangunan Mapan. Prapelancaran forum itu disempurnakan Menteri Pendidikan, Datuk Seri Mahdzir Khalid di Kementerian Pendidikan, di sini, sebentar tadi. Yang turut hadir, Timbalan Menteri Pendidikan I, Datuk P Kamalanathan; Ketua Setiausaha Kementerian Pendidikan, Tan Sri Dr Madinah Mohamad dan Ketua Pengarah Pelajaran, Tan Sri Dr Khair Mohamad Yusof.

Sumber: Berita Harian