Iman Besar Masjid Al-Azhar hadir majlis khatam al-Quran

SYEIKH Mohamad Fawzi Abdel Gawad Al-Barbari.

TANAH MERAH: Kira-kira 600 pelajar dan guru Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Belimbing, di sini, teruja apabila majlis khatam al-Quran peringkat sekolah berkenaan dihadiri Iman Besar Masjid Al-Azhar, Mesir, Syeikh Mohamad Fawzi Abdel Gawad Al-Barbari. Beliau turut memperdengarkan bacaan ayat al-Quran dan mengetuai 34 peserta khatam al-Quran. Pengetua SMK Belimbing, Nik Muhamad Nik Lib, berkata Syeikh Mohamad Fawzi turut menyampaikan tazkirah ringkas kepada pelajar mengenai kelebihan Ramadan. “Kami bertuah kerana berpeluang bersama Imam Besar Masjid Al-Azhar pada majlis ini,” katanya selepas merasmikan rogram itu di Dewan Datuk Hashim Safin, di sini, hari ini. Nik Muhamad berkata, kehadiran Syeikh Mohamad Fawzi itu menyuntik semangat pelajar untuk membaca al-Quran sebagai amalan sebelum memulakan sesi pembelajaran setiap hari. “Sejarah membuktikan tokoh Islam lampau mencipta kecemerlangan kerana mereka adalah penghafal al-Quran dan contoh itu ingin diterapkan pada pelajar,” katanya. Sementara itu, Syeikh Mohamad Fawzi, yang pertama kali ke negara ini, tertarik dengan sifat penduduk yang berakhlak mulia berbanding negara lain pernah dikunjunginya. Beliau berada di daerah ini kerana memenuhi jemputan sebagai imam tarawih di Masjid Ismail Petra, Tanah Merah sepanjang Ramadan.

Sumber: Berita Harian

Advertisements

Mahasiswa disaran jadi ejen online PTPTN

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri merangkap Pengerusi Biro IPTS UMNO Malaysia, Datuk Razali Ibrahim (tengah) dan Pengerusi PTPTN, Datuk Shamsul Anuar Nasarah (berdiri, lima dari kiri) beramah mesra bersama mahasiswa semasa menghadiri sesi Penerangan PTPTN dan Majlis Berbuka Puasa Bersama Mahasiswa Institusi Pengajian Tinggi (IPTS) sekitar Lembah Klang di Dewan Banquet Menara Felda, Kuala Lumpur. – Foto Ghazali Kori

KUALA LUMPUR: Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) menggalakkan mahasiwa di institusi pengajian tinggi (IPT) mendaftarkan diri sebagai ejen online PTPTN mempromosikan produk agensi berkenaan. Pengerusi PTPTN, Datuk Shamsul Anuar Nasarah, berkata dengan menjadi ejen online Skim Simpanan Pendidikan Nasional (SSPN) dan SSPN-i Plus, penuntut terbabit berpeluang menjana pendapatan sampingan. Beliau berkata, terdapat dua kategori ejen iaitu Rakan Niaga Al-Filiate (RNA) dan Ejen Pemasaran Online (EPO), dengan setiapnya akan menikmati komisen masing-masing sebanyak 15 peratus dan 25 peratus daripada amaun bagi membuka akaun dua produk itu. “Selain menikmati komisyen, ejen ini akan melalui jadual kerja yang cukup fleksibel, di samping tidak membabitkan transaksi tunai, menggalakkan masyarakat menabung serta tanpa modal perniagaan. “Kaedahnya cukup mudah, hanya berdaftar dengan PTPTN sebagai ejen,” katanya ketika ditemui pada Majlis Penerangan PTPTN dan Majlis Berbuka Puasa bersama mahasiswa IPT swasta di Menara FELDA, di sini, sebentar tadi. Yang turut hadir, Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, yang juga Pengerusi Biro IPTS UMNO, Datuk Razali Ibrahim. Mahasiswa yang berminat, boleh mendaftar menerusi laman sesawang https://sspniplusonline.ptptn.gov.my/affiliate. Shamsul yang juga Ahli Parlimen Lenggong, berkata setakat ini, seramai 1,309 ejen dari pelbagai latar belakang sudah mendaftarkan dan PTPTN menyasarkan 4,000 ejen dapat didaftarkan menjelang hujung tahun ini. Dalam perkembangan berkaitan, beliau memberitahu, PTPTN sudah meluluskan sebanyak 2.49 juta pinjaman kepada pelajar, membabitkan peruntukan RM56.39 bilion sehingga April tahun ini. Daripada jumlah terbabit, Anuar berkata, 1.69 juta peminjam terdiri daripada pelajar di Universiti Awam (UA) dengan nilai pinjaman RM29.82 bilion, manakala 797,000 lagi adalah pelajar IPT swasta, membabitkan nilai RM26.57 bilion.

Sumber: Berita Harian

Pelajar universiti Korea ke Jepun, M’sia kaji tulisan Jawi

DEKAN Fakulti Asia Tenggara DUFS, Prof Dr Kang Kyoung Seok.

MELAKA: Daegu University of Foreign Studies (DUFS) yang berpusat di Korea Selatan kini mengorak langkah dalam usaha universiti itu mendalami tulisan Jawi apabila bakal menghantar pelajarnya ke Jepun dan Malaysia untuk tujuan kajian serta pembelajaran tulisan warisan berkenaan. Dekan Fakulti Asia Tenggara DUFS, Prof Dr Kang Kyoung Seok, yang juga pakar tulisan Jawi, berkata buat permulaan seorang pelajar universiti itu akan dihantar ke Universiti Tokyo, Jepun dan seorang lagi ke Universiti Putra Malaysia (UPM). “Usaha ini penting bagi merealisasikan cita-cita DUFS melalui International Centre for Jawiology, yang saya bertindak sebagai pengarah, untuk melahirkan lebih ramai anak penjawi (pakar tulisan jawi) dari Korea. “Ini suatu langkah yang agak membanggakan kami kerana DUFS baru sahaja memulakan pengajian kebudayaan Melayu terutama tulisan Jawi pada Mac lepas,” katanya. Laporan khas Bernama pada 13 Mac lalu memberi fokus kepada usaha DUFS memulakan pengajian dalam tulisan Jawi pada 1 Mac lalu menerusi Fakulti Asia Tenggara universiti itu dan melakukan kajian mengenai tulisan warisan Malaysia itu menerusi International Centre for Jawiology universiti berkenaan. Kang berkata, dua pelajar lelaki iaitu Lee Jun Hyeong, pelajar dalam bidang penterjemahan bahasa Jepun-Korea, dipilih ke Universiti Tokyo pada September ini manakala Lee Han, pelajar bidang pengajian Asia Tenggara, kini dalam proses kemasukan ke UPM. Bagi menyediakan kedua-dua pelajar itu untuk menghadapi kajian dan pengajian Jawi, Kang telah melatih mereka membaca dan menulis Jawi selain melakukan transliterasi atau menterjemah manuskrip Jawi. “Saya latih mereka dari asas alif, ba, ta sehingga transliterasi manuskrip Jawi antaranya Sejarah Melayu dan Hikayat Hang Tuah selain tulisan Jawi di Batu Bersurat Terengganu. “Mereka mempunyai minat mendalam dalam tulisan Jawi sebab itu mereka mampu menguasai tulisan Jawi dalam masa yang amat singkat malah dapat menyediakan daftar kata untuk empat tulisan iaitu Korea, Jepun, rumi dan Jawi,” katanya. Beliau turut menunjukkan daftar kata yang dihasilkan pelajarnya itu yang mengandungi 34 muka surat dan 567 perkataan untuk empat tulisan berkenaan. Kang berkata, Jun Hyeong akan berada di Jepun selama setahun di bawah biasiswa Kementerian Pendidikan Jepun iaitu Munbusho Scholarship bagi mengkaji dan mempelajari pelbagai bahan tulisan Jawi yang berada di negara itu. “Beliau akan menggali pelbagai bahan tulisan Jawi dan buku-buku terutama sekitar 1940-an iaitu ketika zaman perang Jepun di Asia Tenggara yang terdapat banyak bahan dalam tulisan Jawi untuk mengajar tentera Jepun yang dihantar ke Malaysia dan Indonesia,” katanya. Kang berkata, Han pula akan melakukan kajian dan pembelajaran dalam bahasa Melayu serta tulisan Jawi melalui Jabatan Bahasa Melayu, Fakulti Bahasa Moden dan Komunikasi, UPM di bawah ahli akademik antaranya Prof Emeritus Dr Hashim Musa dan Prof Madya Dr Adi Yasran. “Beliau (Han) mahu menjadi pakar Jawi setelah tamat di UPM sebelum melanjutkan pengajian ke United Kingdom dalam bidang sarjana dan PhD sambil melakukan transliterasi bahan Jawi yang disimpan di British Library dan Bodleian Library di Universiti Oxford,” katanya. Ditanya tentang harapan kepada dua pelajarnya itu, Kang mahu mereka menjadi pencetus kelahiran pakar-pakar Jawi dalam kalangan generasi muda tanpa mengira negara asal mereka. “Saya mahu hantar anak Korea ini ke banyak pelusuk dunia untuk meraih kesempurnaan (mempelajari dan menjadi pakar) sistem tulisan Jawi setanding dengan generasi muda Malaysia supaya nanti orang Korea, Malaysia juga negara lain berganding bahu mempertahankan Jawi. “Ini tugas saya sebagai pencinta Jawi dan misi saya untuk masyarakat Malaysia yang mengajar saya tulisan Jawi yang amat saya sayangi. Saya percaya semua termasuk orang Korea dan Malaysia mampu pertahan Jawi,” katanya.

Sumber: Berita Harian

800 peserta tempatan, antarabangsa sertai APFEC 2016

Menteri Pendidikan, Datuk Seri Mahdzir Khalid. -Foto Eizairi Shamsudin

PUTRAJAYA: Seramai 800 peserta dari dalam dan luar negara termasuk Menteri Pendidikan dan pegawai kanan kementerian itu akan menyertai Forum Dasar Asuhan dan Pendidikan Awal Kanak-Kanak Asia Pasifik 2016 (APFEC 2016) pada 19 hingga 21 Julai ini, di sini. Program itu anjuran Kementerian Pendidikan, Pertubuhan Saintifik, Pendidikan dan Kebudayaan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO), Tabung Kecemasan Kanak-kanak Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (UNICEF) dan Rangkaian Pendidikan Awal Kanak-kanak Asia Pasifik (ARNEC). Pengisian program adalah pembentangan 50 kertas kerja berkaitan pendidikan awal kanak-kanak membabitkan dua ucap utama, empat sesi plenari dan 44 pembentangan sesi selari. APFEC bermatlamat menyediakan platform untuk penggubal dasar peringkat tertinggi di Asia Pasifik berkongsi pengalaman dan melaksanakan dasar berkaitan pendidikan awal kanak-kanak (ECCE) dan membincangkan strategi inovatif bagi meningkatkan ekuiti dan kualiti ECCE. Fokus forum adalah persetujuan penghasilan Deklarasi Putrajaya mencakupi strategi, mekanisme pemantauan serantau dan peranan negara mencapai Sasaran Pembangunan Mapan. Prapelancaran forum itu disempurnakan Menteri Pendidikan, Datuk Seri Mahdzir Khalid di Kementerian Pendidikan, di sini, sebentar tadi. Yang turut hadir, Timbalan Menteri Pendidikan I, Datuk P Kamalanathan; Ketua Setiausaha Kementerian Pendidikan, Tan Sri Dr Madinah Mohamad dan Ketua Pengarah Pelajaran, Tan Sri Dr Khair Mohamad Yusof.

Sumber: Berita Harian