Syarat sekolah mesra OKU di setiap sekolah baharu

Datuk P Kamalanathan

KOTA KINABALU: Kementerian Pendidikan menetapkan syarat setiap sekolah baharu yang dibina di seluruh negara perlu memenuhi keperluan golongan orang kelainan upaya (OKU). Timbalan Menterinya, Datuk P Kamalanathan, berkata syarat itu selaras dengan usaha kementerian ke arah memastikan setiap sekolah di negara ini mesra OKU. Beliau berkata, keperluan untuk OKU perlu diberi perhatian supaya golongan itu dapat belajar dengan selesa. “Pada masa yang sama, kita juga akan berusaha menaik taraf sekolah sedia ada dengan menambah kemudahan untuk OKU. “Bagaimanapun, ia tertakluk pada permohonan sekolah dan peruntukan kementerian,” katanya kepada pemberita pada Program Iftar Jamaie dan Majlis Kesyukuran Hari Guru Peringkat Kebangsaan, di sini, sebentar tadi. Yang turut hadir, Pengarah Jabatan Pendidikan Sabah, Maimunah Suhaibul. Majlis itu bertujuan menghargai pembabitan pelbagai pihak khususnya guru di Sabah berikutan kejayaan menganjurkan sambutan Hari Guru Kebangsaan 2016 pada 16 Mei lalu. Kamalanathan berkata, kementerian turut memberikan perhatian berterusan pafa usaha meningkatkan keperluan infrastruktur sekolah di Sabah dan Sarawak selaras dengan dasar kerajaan memastikan rakyat di kedua-dua negeri menikmati pendidikan berkualiti.

Sumber: Berita Harian