1,200 pendidik sertai Seminar Komuniti Pembelajaran Profesional Perak

Peserta Seminar PLC mengikuti perkongsian ilmu dan amalan terbaik

Peserta Seminar PLC mengikuti perkongsian ilmu dan amalan terbaik yang disampaikan penceramah dalam seminar itu di Kolej Sains Kesihatan Bersekutu Sultan Azlan Shah, Tanjung Rambutan, Perak, baru-baru ini.

Seramai 1,200 peserta mengikuti Seminar Komuniti Pembelajaran Profesional (PLC) Peringkat Negeri Perak 2016 di Dewan Seri Perdana, Kolej Sains Kesihatan Bersekutu Sultan Azlan Shah, Tanjung Rambutan, Perak, baru-baru ini.

Penyelaras PLC Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Perak, Safuandi Sabri berkata, seminar kali pertama dan yang terbesar ini dianjurkan bagi memenuhi beberapa matlamat antaranya memartabatkan Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (PPPM) 2013-2025.

“Melalui interaksi dua hala dan perkongsian amalan terbaik dalam seminar ini diharap dapat memberikan pencerahan dan pemudah cara pelaksanaan serta pembudayaan PLC di sekolah masing-masing,” katanya.

Seminar ini dirasmikan oleh Pengarah JPN Perak, Rozi Puteh Ismail dan turut dihadiri Timbalan Pengarah Hal Ehwal Pelatih Kolej Sains Kesihatan Bersekutu Sultan Azlan Shah, Saw Poh Gaik.

Peserta seminar terdiri daripada pengetua, guru besar, Ketua Sektor JPN Perak, Pegawai Pendidikan Daerah, Ketua SIPartners+ negeri Perak, Ketua SISC+ negeri Perak, semua pegawai akademik JPN Perak, pegawai Sektor Pendidikan Islam, Sektor Pendidikan Swasta dan Pendidikan Khas serta pegawai Bahagian Teknologi Pendidikan Negeri Perak.

Dalam seminar ini, ceramah disampaikan oleh Penolong Pengarah Sektor Bina Upaya Keguruan, Bahagian Pendidikan Guru Kementerian Pendidikan, Dr. Roslan Hussin manakala pembentangan Amalan Terbaik Pembudayaan PLC pula oleh SMK Convent, Teluk Intan.

– Sumber : Utusan online

%d bloggers like this: