Orkestra Sekolah Seri Puteri juara LAIMF 2016 di AS

KUALA LUMPUR: Pasukan orkestra Sekolah Seri Puteri, Cyberjaya, SP Winds, muncul pemenang pingat emas Festival Muzik Antarabangsa Los Angeles (LAIMF) 2016, di Amerika Syarikat (AS), semalam. SP Winds yang turut mendapat sokongan penyanyi terkenal tanah air, Yunalis Zarai atau Yuna, muncul juara selepas mengetepikan beberapa pesaing hebat, termasuk pasukan terkenal dari AS, Beckman High School Orchestra. Pertandingan sejak Sabtu lalu itu disertai empat orkestra terbaik, termasuk SP Winds, yang diwakili 60 pelajar daripada Tingkatan Dua hingga Tingkatan Lima. Pencapaian cemerlang itu melayakkan SP Winds mewakili Malaysia di pertandingan orkestra peringkat dunia, yang dijadual berlangsung sekitar Julai tahun depan di Belanda. SP Winds sebelum ini pernah meraih pingat di beberapa pentas muzik orkestra antarabangsa seperti New York dan Australia.

Sumber: Berita Harian