Cadang letak polis di sekolah bermasalah

PUTRAJAYA 20 Jun – Kementerian Pendidikan bercadang me­nempatkan anggota polis dalam tempoh tertentu di setiap sekolah terutamanya yang dika­tegorikan ‘panas’ sebagai langkah baharu bagi membendung kes disiplin dalam kalangan pelajar.

Timbalan Menteri Pendidikan, Chong Sin Woon berkata, langkah tersebut yang akan dilaksanakan dengan kerjasama Polis Diraja Malaysia (PDRM) menerusi Pegawai Perhubungan Sekolah (PPS) juga bertujuan untuk mewujudkan persekitaran selamat di sekolah.

“Cadangan ini akan dibincangkan secara lebih lanjut antara pihak kementerian dan polis dalam sebuah bengkel nanti, menerusi cadangan ini polis akan hadir pada waktu-waktu tertentu seperti waktu pagi ketika pelajar hendak masuk ke sekolah atau waktu petang.

“Selain guru sahaja berada di hadapan pintu sekolah kita juga akan ada anggota polis yang ditempatkan di kawasan tersebut, ini sekali gus memberi mesej kepada pelajar yang bermasalah bahawa kita mempunyai PPS untuk membantu menjaga disiplin di sekolah,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas mempengerusikan mesyuarat majlis permuafakatan antara Kementerian Pendidikan dan PDRM di sini hari ini.

Mengulas lanjut, Sin Woon berkata, bengkel tersebut dijangka diadakan dalam tempoh terdekat ini dan selepas semua pandangan diambil kira langkah tersebut yang diyakini dapat membantu mengatasi masalah disiplin dalam kalangan pelajar akan dilaksanakan.

Dalam pada itu, katanya, sebuah prosedur operasi standard (SOP) baharu akan dirangka bagi memperkasakan lagi peranan PPS di masa hadapan supaya ke­dua-dua pihak dapat bekerjasama dalam membantu menangani kes-kes berkaitan disiplin.

Menyentuh mengenai kes disip­lin berkaitan buli melibatkan pelajar sekolah, Sin Woon berkata, pihaknya akan mendapatkan bantuan polis terutamanya melibatkan kes buli yang berlaku di luar sekolah.

Katanya, maklumat yang diteri­ma daripada pihak polis itu akan dimaklumkan kepada pihak sekolah, Pejabat Pendidikan Daerah (PPD), Jabatan Pendidikan Negeri dan Kementerian Pendidikan supaya langkah susulan dapat diambil terhadap pelajar berkenaan.

“Pihak sekolah perlu tahu pelajarnya yang terlibat dalam kes jenayah di luar sekolah supaya tindakan intervensi seperti kaunseling boleh diambil, kita tidak mahu pelajar ini dibuang sekolah dan menjadi masalah kepada masyarakat.

– Sumber : Utusan online

%d bloggers like this: