Tindakan tatatertib pensyarah hina budaya, agama

KUALA LUMPUR 17 Jun – Tindakan tatatertib akan dikenakan kepada pensyarah universiti awam dan swasta di negara ini yang didapati bersalah menghina agama serta budaya kaum-kaum lain sewaktu melaksanakan proses pengajaran dan pembelajaran.

Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Idris Jusoh berkata, sebagai seorang pensyarah, mereka perlu memahami perbezaan dan keunikan kepelbagaian kaum yang terdapat di negara ini.

Sehubungan itu jelasnya, pihak universiti awam dan swasta di negara ini diberi kuasa autonomi untuk mempertimbangkan bentuk tindakan terhadap pensyarah yang melakukan kesalahan tersebut.

“Setiap universiti awam dan swasta diberi kuasa autonomi untuk mengambil tindakan terhadap pensyarah-pensyarah mereka. Sebagai pensyarah, mereka perlu memiliki semangat 1Malaysia,” katanya selepas merasmikan Majlis Iftar Semarak Kasih Majlis Profesor Negara (MPN) Bersama Anak-Anak Yatim Lembah Klang di Bandar Baru Bangi dekat sini hari ini. Yang turut hadir, Pengerusi MPN, Prof. Tan Sri Zakri Abdul Hamid.

Majlis tersebut meraikan lebih 300 anak yatim dari empat buah rumah kebajikan sekitar Lembah Klang iaitu Kompleks Anak Yatim Darul Kifayah Taman Koperasi Polis Gombak, Rumah Anak Yatim Limpahan Kasih, Puchong, Raudhatul Fareedz Universiti Islam Antarabangsa Malaysia, Gombak dan Rumah Anak Yatim Nur Hikmah, Kajang.

Idris mengulas isu seorang pensyarah di Universiti Teknologi Malaysia (UTM) yang mengundang kontroversi kerana menggunakan slaid pengajaran mengandungi perkataan-perkataan menghina agama Hindu baru-baru ini.

Dalam isu yang berlaku di UTM, Idris menambah, Jawatankuasa Tatatertib UTM telah diberikan hak untuk menentukan bentuk tindakan terhadap pensyarah yang terbabit. Katanya, beliau sudah menerima laporan mengenai perkara itu daripada Naib Canselor UTM, Prof. Ir. Dr. Wahid Omar sendiri dan berpuas hati dengan laporan berkenaan.

– Sumber : Utusan online