Tahap kesihatan guru kriteria kenaikan pangkat RM2 juta bina bangunan baru SK Simpang Lima

Mahdzir KhalidMenteri Pendidikan, Datuk Seri Mahdzir Khalid (dua, kiri), beramah mesra bersama mantan Guru Besar, Haron Radzi (tengah), isterinya, Kalsom Idris (dua, kanan), anaknya, Mohd Zohdi Haron (kiri), dan isteri, Nur Hayati Husain, ketika program ziarah kasih di Taman Bakti, Sungai Besar, di sini hari ini. – UTUSAN

SABAK BERNAM 17 Jun – Kementerian Pendidikan sedang mempertimbang untuk menjadikan tahap kesihatan antara syarat tambahan untuk proses kenaikan pangkat dalam perkhidmatan keguruan.

Menterinya, Datuk Seri Mahdzir Khalid berkata, syarat tersebut dilihat sebahagian keutamaan memandangkan keupayaan guru dalam menjalankan tugas yang diamanahkan amat bergantung pada tahap kesihatan yang baik.

“Peralihan jawatan dari Zon A ke Zon B mungkin perlu dirujuk balik dan dipertimbangkan untuk pemeriksaan kesihatan,” katanya kepada pemberita selepas menziarahi seorang pesara guru, Haron Radzi, 75, di kediamannya di Taman Bakti, pekan Sungai Besar di sini hari ini.

Haron pernah bertugas sebagai Guru Besar di Sekolah Kebangsaan Seri Utama di sini.

Tambah Mahdzir, beliau turut mencadangkan supaya Pegawai Pendidikan Daerah (PPD) mengadakan pengumpulan data atau maklumat mengenai guru-guru yang mempunyai masalah kesihatan termasuk penyakit kronik seperti kanser, darah tinggi, diabetes dan jantung.

Data itu, katanya akan memudahkan pihaknya melaksanakan pelbagai pendekatan yang bersesuaian dengan keadaan kesihatan guru terbabit termasuklah bantuan yang diperlukan meskipun mereka menerima manfaat perubatan sebagaimana yang termaktub dalam syarat-syarat perkhid­matan.

Sementara itu, Mahdzir turut mengumumkan peruntukkan RM2 juta bagi pembinaan bangunan baharu Sekolah Kebangsaan (SK) Simpang Lima untuk menggantikan struktur lama yang sudah uzur.

Beliau ketika melawat sekolah berkenaan berkata, bangunan satu tingkat dengan kapasiti enam bilik darjah itu akan dibina menggunakan sistem bangunan berindustri (IBS).

Sementara itu, dalam lawatan lain, beliau mengumumkan peruntukan sebanyak RM300,000 bagi pembinaan dewan terbuka untuk kegunaan guru dan murid di SK Sungai Limau.

– Sumber : Utusan online

%d bloggers like this: