Produk SMKA mampu jadi pemimpin terbaik

SABAK BERNAM 17 Jun – Lulusan sekolah agama mampu menjadi pemimpin terbaik sekiranya mereka diberi peluang menggalas tugas dan tanggungjawab yang penting, kata Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi.

Timbalan Perdana Menteri berkata, bagaimanapun, produk sekolah agama itu perlu membuktikan mereka bersungguh-sungguh mahu menterjemahkan harapan ketua-ketua kerajaan negeri dan pemimpin negara.

“Saya sendiri pernah belajar dari tingkatan satu hingga enam rendah di Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA) Izzudin Shah, Ipoh.

“Sebagai produk sekolah agama, kita boleh buktikan bahawa mereka yang menerima pengajian Islam berupaya menjalankan tugas dengan baik atas segala peranan serta tanggungjawab yang diberikan,” katanya ketika berucap dalam majlis Iftar Perdana Bersama Warga Pendidikan Sabak Bernam di sini malam ini.

Yang turut hadir Menteri Pendidikan, Datuk Seri Mahdzir Khalid.

Dalam majlis berkenaan, beliau turut mengumumkan pertukaran nama SMKA Sabak Bernam secara rasmi kepada SMKA Tun Hajah Rahah.

Ahmad Zahid menjelaskan, pertukaran nama itu bersesuaian dengan statusnya sebagai sekolah kluster kecemerlangan.

“Rabu lalu selepas mesyuarat Kabinet, saya berjumpa Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak tentang cadangan (tukar nama) ini dan beliau bersetuju,” katanya.

– Sumber : Utusan online

%d bloggers like this: