Pelajar bandar alami pengalaman berbeza di Ulu Tembeling

Pelajar menggunakan alu dan lesung bagi menyediakan makanan  tradisional PELAJAR menggunakan alu dan lesung bagi menyediakan makanan tradisional dalam Kembara Intelek dan Khidmat Masyarakat di Ulu Tembeling, Jerantut, Pahang, baru-baru ini.

Menangkap ikan sungai dan mempelajari kehidupan kaum minoriti Orang Asli Batek antara pengalaman berharga yang berjaya dikutip oleh 27 pelajar tingkatan 4 dan 5 Sekolah Menengah Sains Alam Shah (Asis) dan Sekolah Menengah (SM) Teknik Kuala Lumpur sepanjang empat hari menyertai program Kembara Intelek dan Khidmat Masyarakat di Ulu Tembeling dekat Jerantut, Pahang baru-baru ini.

Ditemani empat guru pengiring terdiri daripada Ketua Panitia Sejarah, Rohani Mustafa; Ghani Salleh; Mohd Izzad Mohd. Saban dan Ketua Panitia Sejarah SM Teknik Kuala Lumpur, Haslawati Bahari, pelajar sanggup mengeluarkan perbelanjaan sendiri semata-mata ingin merasai pengalaman baharu menjadi `budak kampung’, mendekati keunikan hutan dan keistimewaan Sungai Tembeling.

Walaupun sebahagian besar pelajar ini hidup moden dan tinggal di tengah pusat bandar Kuala Lumpur namun mereka langsung tidak menunjukkan rasa kekok untuk tidur di rumah papan dan makan cara kampung selama tinggal bersama keluarga angkat di Kampung Sat yang merupakan salah satu daripada lima kampung pedalaman atau tradisi dalam kawasan Ulu Tembeling.

Bagi Muhammad Hasyim Hamid, pelajar tingkatan 4 Asis, pengalaman bertemu dan melihat sendiri kehidupan masyarakat Orang Asli Batek merupakan kenangan paling berharga terutama melihat kepayahan golongan itu dalam meneruskan kehidupan yang jauh berbeza dengan kehidupan moden di pusat bandar.

“Di kampung Orang Asli, walaupun golongan ini jauh tertinggal dengan kemodenan bandar namun mereka mampu meneruskan kehidupan menggunakan sumber yang diperoleh daripada sungai dan hutan di sekeliling mereka, di situ, saya belajar ertinya menghargai alam sekitar,’’ katanya.

Sementara itu, detik paling berharga Ahmad Kamil Mohd, Hamzah, 17, apabila menghulurkan buku warna dan set menulis kepada seorang kanak-kanak Orang Asli Batek berusia 6 tahun ketika berkunjung ke penempatan kaum itu pada hari terakhir program.

“Saya cuba membantu kanak-kanak itu menggunakan pensel warna untuk mewarna buku tersebut namun dia terlalu malu dan sukar untuk didekati, baru saya tahu itu memang sifat semula jadi kaum Batek di Ulu Tembeling,’’ ujarnya.

Rakannya, Muhammad Adam Bakhtiar memberitahu, peluang mengenali kaum Orang Asli Batek selama dua jam dirasakan terlalu singkat dan berhasrat untuk kembali ke situ dalam program yang akan datang.

– Sumber : Utusan online

%d bloggers like this: