Kerajaan umum RM30 juta bina asrama SBJK 18 Jun 2016 1:26 AM

NajibNAJIB Tun Razak (duduk,dua, kanan) dan isteri, Datin Seri Rosmah Mansor (duduk,tiga,kanan) beramah mesra dengan para pelajar ketika melawat Sekolah Bimbingan Jalinan Kasih Lorong Haji Hussin 2 Kampung Baru hari ini. Turut hadir, Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Johari Abdul Ghani dan anak perempuan Najib, Noohayana Najwa Najib (duduk, empat, kanan). – BERNAMA

KUALA LUMPUR 17 Jun – Kerajaan meluluskan peruntukan sebanyak RM30 juta bagi membina asrama Sekolah Bimbingan Jalinan Kasih (SBJK) yang terletak di Kampung Baru di sini.

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, dengan adanya asrama itu, para pelajar akan mendapat tempat tinggal yang lebih selesa dan selamat, selain masa depan mereka lebih terjamin.

“Untuk masa depan pelajar sekolah ini, mengambil kira keadaan yang agak unik lagi mencabar, maka kerajaan melalui Kementerian Pendidikan mengambil keputusan bahawa sebuah asrama perlu dibangunkan untuk sekolah ini. Dengan itu kerajaan meluluskan peruntukan sebanyak RM30 juta untuk mendirikan asrama di sebelah sekolah ini,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas mengadakan lawatan ke sekolah tersebut bersama isterinya, Datin Seri Rosmah Mansor dan anak perempuannya, Nooryana Najwa, hari ini.

Lawatan beliau itu turut diiringi Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Johari Abdul Ghani merangkap Ahli Parlimen Titiwangsa serta Ketua Setiausaha Kementerian Pendidikan, Tan Sri Dr. Madinah Mohamad.

Sekolah tersebut yang ditubuhkan pada 2011 merupakan inisiatif Kementerian Pendidikan dalam menyediakan akses pendidikan formal kepada kanak-kanak jalanan serta terpinggir di ibu kota termasuk golongan miskin bandar, anak yatim dan mereka yang tidak mempunyai dokumen pengenalan diri.

Menurut Najib, SBJK yang kini menempatkan 143 pelajar berumur antara empat dan 19 tahun merupakan sekolah yang unik di Malaysia dan mungkin satu-satunya sekolah seumpama itu yang wujud di dunia.

Beliau berkata, kesungguhan Pengetua, Zulkernai Fauzi dan guru-guru di sekolah itu juga luar biasa kerana mereka melakukan usaha-usaha di luar batas kerja dan amalan biasa supaya kanak-kanak terus dapat belajar di sekolah tersebut.

“Kebiasaannya pengetua dan guru-guru akan menunggu pelajar-pelajarnya di sekolah, namun di SBJK, pengetua dan guru-guru keluar mencari kanak-kanak untuk datang ke sekolah. Jadi saya nak ucap setinggi-tinggi penghargaan kepada usaha luar biasa mereka ini.

“Saya amat berharap pelajar-pelajar di sekolah ini belajar bersungguh-sungguh dan jangan sesekali ponteng sekolah. Kalau ada pelajaran, insya-Allah masa depan kita akan berubah,” katanya.

Terdahulu, Najib menyampaikan sumbangan raya kepada semua pelajar SBJK dan mengumumkan pengacara popular, Datuk Aznil Nawawi yang turut hadir dalam lawatan itu sebagai bapa angkat dan mentor kepada pelajar-pelajar tersebut.

– Sumber : Utusan online

%d bloggers like this: