Hidup nomad penghalang ke sekolah

MUKADIMAH: Isu pendidikan dalam kalangan masyarakat Orang Asli masih menjadi perbincangan utama walaupun diakui sudah banyak pencapaian yang membanggakan berjaya dilakar oleh golongan ini.

Hakikatnya masih ada lagi segelintir kanak-kanak dan remaja Orang Asli yang belum menguasai ilmu pendidikan asas iaitu mengira, membaca dan menulis. Keadaan keciciran ini tersingkap sewaktu wartawan Utusan Malaysia, Norizan Abdul Muhid mengikuti Kembara Intelek dan Khidmat Masyarakat Sekolah Menengah Sains Alam Shah Shah, Cheras dan Sekolah Menengah Teknik Kuala Lumpur ke perkampungan Orang Asli Kampung Dedari yang menempatkan 10 keluarga suku Batek di sepanjang Sungai Ulu Tembeling dekat Jerantut, Pahang, baru-baru ini. Ikuti laporannya mengapa pendidikan menjadi perkara asing kepada Orang Asli suku Batek ini.

 

Masyarakat Orang Asli suku kaum Batek yang terdapat di daerah Je­rantut, Pahang mendiami hutan belantara, tinggal di Tembeling Tengah, Kuala Tahan serta Hulu Tembeling.

Untuk mengenali kaum ini, mereka memiliki ciri-ciri berambut kerinting halus, kulit hitam manis, berwajah bulat lebar dan paling membezakan kaum Orang Asli dengan kaum lain, golongan ini masih mengamalkan hidup berpindah-randah atau nomad yang diwarisi sejak turun-temurun.

Berbanding kaum Orang Asli lain misalnya kaum Jahut di Jerantut yang menerima tempias perubahan pembangunan dan pemodenan, Orang Asli Batek antara suku minoriti yang suka berpindah-randah, menjalankan rutin harian memburu dan mengutip hasil hutan untuk kegunaan sendiri atau dijual kepada pelancong.

Perpindahan suku etnik ini seringkali dikaitkan dengan kepercayaan animisme seperti berlaku kematian, tanah tidak subur untuk bercucuk tanam, bencana dan kepercayaan kepada kuasa ghaib.

Kehidupan nomad yang diamalkan iaitu keluarga yang berpindah-randah dari satu tempat ke tempat lain menyebabkan anak-anak kaum ini kurang berminat atau tidak berkesempatan untuk ke sekolah.

Kata Sena Tamah, 45, jika ada penduduk sakit, mereka akan pindah ke tempat lain, juga di tepi-tepi sungai dan balik semula ke tempat lama selepas beberapa bulan.

“Tetapi sekiranya ada kematian, kami akan pindah terus dan tidak balik lagi ke kampung lama,” tegasnya.

Natijahnya, sebahagian besar atau mungkin semua anak Orang Asli yang terdiri daripada 10 keluarga suku Batek di kampung ini langsung tidak bersekolah.

Memburukkan keadaan, penempatan terbesar masyarakat Batek berhampiran Sungai Tembeling ini hanya boleh diakses dengan menaiki bot dari Kuala Tahan.

Secara keseluruhan terdapat kira-kira 1,000 anggota suku Batek yang hidup berpindah-randah dari satu kediaman sementara ke tempat lain di sekitar Taman Negara.

Mungkin disebabkan faktor itu, mereka tidak mementingkan pendidikan tetapi lebih mengutamakan kelangsungan hidup menggunakan sumber alam semula jadi dan tinggal di rumah atau bangsal berbumbungkan atap nipah dan daun, lantainya ber­alaskan buluh dan kayu untuk tempat bersantai bersama ahli keluarga.

– Sumber : Utusan online

%d bloggers like this: