Gadis manis pecah dominasi lelaki

KEMAHIRAN dalam bidang kimpalan yang dikuasai oleh golongan lelaki turut menjanjikan peluang baik keKEMAHIRAN dalam bidang kimpalan yang dikuasai oleh golongan lelaki turut menjanjikan peluang baik kepada kaum wanita di negara ini.

PUTRAJAYA 19 Jun – Minat mendalam seorang gadis membantu bapanya melakukan kerja-kerja kimpalan dibengkel akhirnya membawa tuah kepadanya apabila dipilih sebagai salah seorang pelajar cemerlang dalam program Diploma Vokasional Malaysia Kolej Vokasional.

 Nurul Fatin Atikah Mohd Zuljabar, 20, yang memilih Kolej Vokasional Sungai Petani 1 (KVSP1), Kedah selepas tamat tingkatan tiga bukan sahaja cemerlang dalam akademik tetapi juga berjaya mengetepikan pelajar-pelajar lelaki yang mendominasi bidang tersebut.
Kejayaannya itu bukan sahaja menjadi kebanggaan kolej, malah mendapat perhatian Bahagian Pendidikan Teknik dan Vokasional (BPTV), Kementerian Pendidikan selepas dia lulus ujian WQT Lloyd’s Register di Akademi Latihan Pendidikan Vokasional (VETA) dan ujian WQT Client di syarikat Sapura Kencana Petroleum Berhad.
Lebih membanggakan, anak kedua daripada lima adik beradik itu telah ditawarkan bekerja sebagai jurukimpal dengan tawaran gaji mencecah RM3,500 sebulan sejak bulan Mei lalu biar pun belum menghadiri majlis konvokesyen yang dijadualkan bulan Ogos ini.
Menurut Nurul Fatin Atikah, sepanjang mengikuti pengajian di KVSP1, dia berpeluang meningkat dan mengasah kemahirannya dalam bidang kimpalan yang telah menjadi minatnya sejak dahulu lagi.
“Kami bertuah kerana tenaga pengajar di KVSP1 banyak memberi tunjuk ajar, lebih-lebih lagi mereka memberi fokus kepada pelajar pe­rempuan yang jumlahnya tidak ramai berbanding lelaki.
“Sebagai pelajar perempuan yang memasuki bidang lelaki, agak susah sebenarnya untuk saya se­suaikan diri, tambahan pula tenaga kita tidak sama dengan mereka tetapi kami bertuah kerana tenaga pengajar sering membimbing dan memberi tunjuk ajar supaya tidak ketinggalan dengan pelajar lain,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia di sini, baru-baru ini.
Nurul Fatin Atikah yang bera­sal dari Kuala Ketil, Kedah berkata, ketika mengikuti latihan industri di VETA, dia terpaksa melalui cabaran yang lebih besar dan sukar.
“Ujian di sana sememangnya amat sukar kerana memerlukan stamina tinggi dan agak meletihkan kerana saya perlu menyiapkan paip seorang diri,” katanya.
Seorang lagi pelajar cemerlang KVSP1, Siti Sarah Mohd. Samsuri, 20, memberitahu, dia memilih untuk memasuki aliran vokasional kerana meminat melakukan kerja yang mencabar dan lasak.
Menurutnya, bidang kimpalan bukan sahaja memberi cabaran sebenar kepadanya tetapi juga membuktikan kepada semua pihak bahawa kaum wanita juga mampu melaksanakan kerja-kerja mencabar.
Menceritakan pengalamannya ketika menjalani latihan industri di VETA, katanya, dia pernah gagal ketika menjalani ujian pertama apabila kerja tangannya bocor,  namun kegagalan itu tidak mematahkan semangatnya untuk berusaha lebih baik.
“Walaupun sedih, saya kaji semula apa kesilapan dilakukan dan kemudian lulus untuk ujian kali kedua,” katanya yang berasal dari Yan, Kedah.
Ditanya mengenai perancangan masa hadapannya, anak kedua dari empat adik beradik itu berharap dapat meningkatkan kemahirannya untuk bekerja di kawasan persisi­ran.
Sementara itu, Siti Nur Syamiza Azua Ahmad, 20, dari Kolej Vokasional Wakaf Tembesu, Terengganu berkata, sebagai wakil tunggal pelajar perempuan yang mengikuti program kimpalan di kolej tersebut, dia terpaksa berdepan cabaran yang tinggi dan menjadi bahan usikan rakan-rakan lelaki lain.
Namun, katanya, disebabkan minat yang terlalu mendalam dia tidak mengendahkan usikan nakal tersebut dan meneruskan pembelajaran  sehingga berjaya menjadi salah seorang pelajar cemerlang dan lulus ujian WQT Lloyd’s Register.
“Sepanjang empat bulan di VETA pelbagai pengalaman yang saya timba, berkat kesungguhan dan kesabaran serta sokongan ibu bapa, saya bersyukur kerana dapat melalui ujian berkenaan.
“Sebagai pelajar perempuan tunggal dalam program ini menuntut saya bekerja lebih keras untuk bersaing dengan pelajar lelaki, ini sekali gus menjadikan saya lebih tekun berusaha dan sentiasa membuat yang terbaik ketika menjalani ujian industri,” katanya.

– Sumber : Utusan online

%d bloggers like this: