Ditipu peniaga kerana tidak tahu mengira

Anak Orang Asli suku Batek agak malu  menerima sumbangan alat ANAK Orang Asli suku Batek agak malu menerima sumbangan alat tulis daripada pelajar yang menyertai Kembara Intelek dan Khidmat Masyarakat.

Gagal menguasai ilmu pengetahuan asas membaca, menulis dan mengira menyebabkan Orang Asli suku Batek sukar berurus niaga malah sering ditipu oleh peniaga yang mengambil kesempatan.

Hal ini diakui bapa kepada empat anak suku Batek, Sena Tamah, 45, bahawa terdapat peniaga yang menipu mereka dalam urusan menjual hasil hutan atau ketika membeli barang keperluan harian.

“Kami tidak tahu mengira, kalau hendak beli barang dapur macam beras ke, peniaga ambil kesempatan menipu kami dalam kiraan wang tetapi nak buat macam mana, kami terima sahaja,’’ katanya.

Sena reda kerana mereka tidak mendapat pendidikan formal di sekolah dan baginya, malah semua suku Batek, hutan segala-galanya buat mereka.

Bagi mereka, kemahiran memburu dan mencari rotan atau gaharu perlu diturunkan dan diwarisi oleh anak-anak mereka.

Malah, katanya, pada usia seawal lapan tahun, anak Orang Asli di kampung itu sudah mengikut bapa mereka masuk ke hutan untuk berburu, memetik buah-buahan dan ke sungai menangkap ikan.

“Kemahiran berburu di hutan dan menyumpit satu pekerjaan yang wajib semua anak kami miliki, bahkan jika sudah pandai menyediakan alat sumpitan, anak itu walaupun baru berusia 10 atau 11 tahun sudah boleh berkahwin,’’katanya.

Oleh itu, tidak mustahil jika dikatakan tiada seorang kanak-kanak atau remaja suku Batek ini pergi ke sekolah kerana mereka lebih terdedah dan membesar dengan alam semula jadi seperti bukit-bukau, hutan dan sungai.

Tidak hairanlah, jika anak-anak suku Batek ini kekok dengan buku mewarna dan alat tulis yang diberikan oleh pelajar dan guru Sekolah Menengah Sains Alam Shah, Cheras dan Sekolah Menengah Teknik Kuala Lumpur.

Seorang penduduk, Hashim Ra, 25, hanya menyimpulkan senyuman ketika ditanya mengenai kegunaan buku mewarna yang diterimanya.

– Sumber : Utusan online

%d bloggers like this: