UPM, UUM mencatat lonjakan signifikan

KUALA LUMPUR: Universiti Putra Malaysia (UPM) dan Universiti Utara Malaysia (UUM) mencatat lonjakkan signifikan dalam penarafan QS University Rankings: Asia 2016 apabila masing-masing naik 17 dan 56 anak tangga berbanding kedudukan tahun lalu. Universiti berasaskan pertanian itu berada pada kedudukan ke-49 tahun ini seterusnya menjadi antara 50 universiti terbaik Asia bersama-sama Universiti Malaya (UM) yang memperbaiki kedudukan daripada kedudukan ke-29 pada tahun 2015 kepada 27, tahun ini. Naib Canselor UPM, Prof Datin Paduka Dr Aini Ideris, berkata pencapaian memberangsangkan UPM pada tahun ini melangkaui sasaran yang ditetapkan iaitu untuk mendapat 60 terbaik Asia. Katanya, lonjakan itu akan menguatkan lagi semangat warga kampus bagi meningkatkan kualiti pengajaran, pembelajaran dan penyelidikan UPM. “Pencapaian ini diharap dapat membantu melonjakkan lagi tahap kecemerlangan UPM yang pada akhirnya memberi sumbangan bermakna kepada kesejahteraan masyarakat dan kemajuan negara,” katanya. QS University Ranking ialah sebuah agensi yang berpangkalan di United Kingdom membuat penarafan peringkat serantau dan dunia. Penilaian kali ini membabitkan 350 universiti utama Asia dan dibuat sejak tahun 2009 berdasarkan sembilan indikator. Indikator itu membabitkan reputasi akademik, reputasi majikan, nisbah pelajar kepada fakulti, penerbitan hasil kajian setiap fakulti, nisbah fakulti antarabangsa, nisbah pelajar antarabangsa, pertukaran pelajar masuk, pertukaran pelajar keluar serta indikator terbaharu, bilangan staf yang berkelayakan ijazah doktor falsafah. Sementara itu, Naib Canselor UUM, Prof Datuk Seri Dr Mohamed Mustafa Ishak, berkata pencapaian berada di kedudukan 137 itu meletakkan UUM pada kedudukan ke-21 di Asia Tenggara, ketujuh di Malaysia dan keenam dalam kalangan universiti awam. “Pencapaian memberangsangkan UUM pada tahun ini memberi gambaran positif kepada sasaran yang ditetapkan iaitu untuk berada dalam kelompok 100 terbaik Asia dalam jangka masa terdekat,” katanya.

Sumber: Berita Harian