Kedudukan UUM melonjak dalam QS University Ranking Asia

KUALA LUMPUR: Universiti Utara Malaysia (UUM) menunjukkan lonjakan luar biasa dalam kajian QS University Ranking Asia 2016 apabila berganjak 56 anak tangga daripada kedudukan ke-193 tahun lalu.     Naib Canselornya, Prof Datuk Seri Dr Mohamed Mustafa Ishak, berkata pencapaian berada di kedudukan 137 itu meletakkan UUM di tangga ke-21 di Asia Tenggara, ketujuh di Malaysia dan keenam dalam kalangan universiti awam tempatan.      Beliau berkata, dalam tempoh lima tahun ini, UUM melonjak 162 anak tangga dari tahun 2011.      Katanya, pencapaian memberangsangkan UUM pada tahun ini memberi gambaran positif kepada sasaran yang ditetapkan iaitu untuk berada dalam kelompok 100 terbaik Asia dalam jangka masa terdekat.     “Sehubungan itu, diharapkan semua warga kerja UUM dapat berganding bahu dan tekadkan usaha menjadikan UUM, sebuah universiti pengurusan terkemuka.     “Saya yakin dengan usaha yang lebih gigih dan tekun, tidak mustahil kita dapat melonjak pada kedudukan yang lebih tinggi,” katanya dalam suatu kenyataan di sini, hari ini.     QS University Ranking Asia ialah agensi yang berpangkalan di United Kingdom membuat penarafan peringkat serantau dan dunia.     Penilaian kali ini membabitkan 350 universiti utama Asia dan dibuat sejak tahun 2009 berdasarkan sembilan indikator antaranya reputasi akademik, reputasi majikan, nisbah pelajar kepada fakulti, penerbitan hasil kajian setiap fakulti, nisbah fakulti antarabangsa, nisbah pelajar antarabangsa serta indikator terbaharu, bilangan staf yang berkelayakan ijazah doktor falsafah (Phd).

Sumber: Berita Harian