KaryaOne iktiraf pelajar Penganjuran majlis anugerah setaraf antarabangsa

Malam Gala KaryaOne Wave Awards 2016 anjuran Fakulti Filem, Teater dan Animasi (FiTA), Universiti Teknologi Mara (UiTM) sempena Minggu KaryaOne 2016 membuktikan kemampuan pelajarnya untuk menganjurkan majlis setaraf antarabangsa.

Pengerusi Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas), Datuk Mohd. Khusairi Abdul Talib berkata, penganjuran majlis anugerah kali ke-4 yang dianjurkan UiTM itu setaraf majlis antarabangsa dalam mengiktiraf sumbangan karya pelajar dalam bidang animasi, penulisan kreatif, filem, pengurusan industri kreatif, dan teater.

Menurutnya, pengiktirafan itu memacu dasar transformasi UiTM ke arah membudayakan kerja berprestasi tinggi dan berinovasi.

“Malam gala ini diterajui dan dikelolakan pelajar FiTA dan disusun selia oleh pensyarah mereka yang hebat.

“Majlis yang dianjurkan ini membuktikan kemampuan UiTM untuk menganjurkan majlis anugerah setaraf antarabangsa,” katanya ketika berucap pada majlis anugerah tersebut di Dewan Agung Tuanku Canselor, UiTM Shah Alam, Selangor baru-baru ini.

Turut hadir, Dekan FiTA, Datuk Prof. A. Razak Mohaideen dan Pensyarah Program Penulisan Kreatif yang juga Pengarah Projek KaryaONE Wave Awards 2016, Mohd Syuhaidi Abu Bakar.

Malam anugerah bertemakan Wave itu melambangkan gabungan gelombang idea dan kreativiti untuk berkarya dengan lebih hebat secara kolektif.

Sebanyak 32 kategori anugerah dari lima program pengajian FiTA diberikan kepada pemenang yang berjaya.

Anugerah itu mengiktiraf hasil karya pelajar dalam mewarnai industri kreatif tempatan mahupun luar negara.

Pada majlis itu, Anugerah KaryaOne Legenda diberikan kepada penyanyi, Noraniza Idris atas sumbangan beliau selama 30 tahun dalam bidang industri kreatif dan pendidikan berteraskan irama etnik kreatif dan tradisional Malaysia.

Noraniza merupakan penerima pertama anugerah tersebut sejak penganjuran Minggu KaryaOne bermula empat tahun lalu.

Majlis turut dimeriahkan dengan persembahan daripada Mimi One Nation Emcees, Ushera, Johan Eusoff, Sufian, Suhaimi, Ihab dan Lzzay.

Ia turut dihadiri artis yang menyampaikan anugerah kepada pemenang seperti Linda Onn, Nina Nadira, Firman AF, Aman AF, Sakura Band, Fauzi Nawawi dan Mr. Planet Malaysia 2016, Nazirul Mubin.

– Sumber : Utusan online

%d bloggers like this: