Bakti siswa berteraskan pendidikan Mendidik mahasiswa dengan semangat kemasyarakatan

Aktiviti sukarelawan merupakan inisiatif yang signifikan dalam membentuk keperibadian mulia pelajar institut pengajian tinggi.

Dengan itu, Baktisiswa Secholian 2016 (BSS2016) mula ditubuhkan untuk mendidik mahasiswa ke arah memupuk semangat kemasyarakatan.

BSS merupakan program tahunan kolej anjuran Jawatankuasa Perkembangan Kebajikan dan Kemasyarakatan Kolej Kediaman Tuanku Bahiyah (KKTB), Universiti Malaya (UM).

Dengan bimbingan Pengetua Kolej, Prof. Madya Dr. Nahrizul Adib Kadri, projek ini telah memenangi banyak anugerah program bakti siswa di peringkat universiti.

Baru-baru ini, seramai 34 mahasiswa KKTB berjaya mencapai objektif untuk menabur bakti kepada masyarakat di perkampungan pedalaman Song, Sarawak melalui program sukarelawan.

Pengarah BSS2016 , Pang Mun Choong berkata, program BSS kali ketiga yang dianjurkan ini memberi motivasi dan pengalaman berharga kepada universiti dan pelajar yang terlibat menjayakan program ini.

“Apa yang menariknya, aktiviti bersama penduduk kampung dan kanak-kanak di rumah panjang Nanga Miau Song, Sarawak memberi seribu satu kenangan manis yang amat bermakna.

“Selain itu, program yang diadakan turut mempunyai kelainan iaitu melalui program motivasi yang memupuk semangat jati diri pelajar di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Katibas. Program menyuntik semangat kami membantu mereka untuk berjaya dalam menghadapi peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia tidak lama lagi,” katanya.

Utusan Malaysia merupakan rakan media dan media rasmi BSS2016.

Mun Choong yang juga pelajar Ijazah Sarjana Kejuruteraan Telekomunikasi berkata, sebanyak 93 pelajar SMK Katibas yang terdiri daripada pelajar tingkatan empat dan lima telah menyertai projek BSS kali ini dengan jayanya.

“Tidak dinafikan bahawa pelajar SMK Katibas dahagakan ilmu serta pendedahan tentang pembelajaran di bandar, hal ini kerana sekolah mereka yang terletak jauh di pedalaman dan mereka tidak terdedah dengan peluang yang ada untuk menyambung pelajaran di peringkat yang lebih tinggi.

“Perjalanan kami dari Sibu mengambil masa selama tiga jam untuk sampai ke SMK Katibas, Kami terpaksa mengharungi sungai terpanjang di Malaysia iaitu Sungai Rajang dengan hanya menaiki bot ekspres dan sampan. Pemandangan indah yang sukar dirasai di bandar besar seperti Kuala Lumpur kami hayati dengan penuh perasaan kagum,”katanya.

Selama empat hari penganjuran BSS di SMK Katibas, pelbagai program dikongsi oleh ahli BSS kepada pelajar untuk mencapai objektif iaitu memperkenal UM sebagai universiti inspirasi pada masa depan.

Antara slot yang utama yang diadakan seperti Slot Jom Masuk U! yang dikendalikan fasilitator UM. Slot ini bertujuan memberi pendedahan penting kepada pelajar sekolah dalam membantu mereka membuat keputusan untuk menyambung pelajaran di peringkat tertiari; Slot Sejam bersama Sejarah Malaysia iaitu meningkatkan minat sejarah Malaysia terutama negeri Sarawak serta menanam sifat menghargai tanah air dan Slot keselamatan daripada pihak bomba dan penyelamat.

Selain itu, aktiviti gotong royong dan tanam pokok bersama pelajar sekolah turut diadakan.

Dengan bantuan para guru, sebanyak 18 batang pokok telah ditanam di sekitar sekolah untuk mewujudkan suasana belajar yang lebih kondusif dan ceria.

Sementara itu, Pengetua SMK Katibas, Charles Kored Juut berkata, pelajar sekolah di sini perlu dibimbing dan diberi motivasi untuk berjaya.

“Walaupun keadaan kawasan sekolah ini terpencil dan dikelilingi gunung-ganang serta jauh dari dunia luar, tidak mustahil bagi anak-anak di SMK Katibas untuk mencipta kejayaan di peringkat yang tinggi dan seterusnya kembali di sekolah ini untuk membantu pula membangunkan anak bangsa di sini,”katanya.

Tambahnya lagi, jika sebelum ini pelajar kurang motivasi untuk belajar dan cita-cita mereka hanya terhad kepada pekerjaan sekeliling sahaja seperti petani, guru dan polis namun dengan program BSS2016 ini serba sedikit membantu mereka untuk mengembangkan cita-cita mereka ke bidang lain.

“Kini mereka lebih bersemangat untuk menyambung pelajaran di universiti seterusnya menjadi insan yang lebih kreatif dan menyumbang kepada kemajuan negara,”katanya.

– Sumber : Utusan online

%d bloggers like this: