Jangan pandang mudah anak istimewa – Rosmah

KUALA TERENGGANU 14 Jun – Masyarakat diminta tidak memandang mudah keupayaan anak-anak istimewa kerana mereka turut mempunyai kelebihan setara atau mungkin lebih hebat berbanding insan sempurna sekiranya potensi diri berjaya digilap.

Isteri Perdana Menteri, Datin Seri Rosmah Mansor berkata, ada dalam kalangan golongan itu yang berjaya, malah turut mengharumkan nama negara antaranya usahawan batik, Teng­ku Arman Harris Tengku Ismail serta dua atlet, Bibiana Ahmad dan Suhaila Abdul Samad yang cemerlang di peringkat antarabangsa.

Sehubungan itu katanya, se­tiap anggota masyarakat ter­uta­ma ibu bapa dan guru-guru di pu­sat pemulihan dalam komuniti (PDK) tidak boleh mengekang minda dengan beranggapan golongan tersebut tidak berupaya untuk memajukan diri.

“Jika dunia membicarakan be­tapa golongan OKU (orang kurang upaya) perlu dibangunkan dari aspek kebajikan dan hak, Islam sejak awal lagi mengiktiraf dan meraikan mereka sebagai insan yang sama tarafnya di sisi Allah.

“Sesungguhnya setiap daripada kita boleh menyumbangkan bakti kepada mereka, tidak semestinya dalam bentuk wang ringgit tetapi sokongan tenaga, kemahiran, masa dan idea juga sangat diperlukan oleh PDK yang melatih anak istimewa,” katanya.

Beliau yang juga Yang Dipertua Badan Amal dan Kebajikan Isteri-isteri Menteri dan Timbalan Menteri (Bakti) berkata demikian ketika berucap dalam majlis Penyampaian Sumbangan Hari Raya Aidilfitri dan Program Semai Bakti kepada pelatih PDK di Pasar Raya Mydin Mall, Gong Badak, di sini hari ini.

Yang hadir sama, Menteri Besar, Ahmad Razif Abdul Rahman dan isteri, Halina Zakaria; Yang Dipertua Dewan Undangan Ne­ge­ri, Datuk Zubir Embong; Setia­u­­saha Kerajaan negeri, Datuk Osman Muda; Setiausaha Jawatankuasa Induk Program Semai Bakti, Prof. Puan Sri. Mizan Adi­li­ah­ Ahmad Ibrahim serta Penga­rah Mydin Mohamed Holdings Bhd­., Datin Wira Dr. Siti Hawa Mohd.

Seramai 250 pelatih dari 45 buah PDK di negeri ini masing-masing menerima sumbangan duit raya.

Terdahulu, Rosmah menyampaikan sumbangan tahunan Aidilfitri berjumlah RM10,000 untuk diagih-agihkan pihak Badan Amal dan Kebajikan Isteri-isteri Wakil Rakyat Negeri Terengganu (Serikandi) kepada pelatih di PDK di sekitar negeri ini yang berdaftar dengan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).

Bakti menyumbang RM10,000 untuk setiap badan amal negeri di seluruh negara yang bekerjasama dengan Program Semai Bakti bagi disalurkan kepada PDK berdaftar.

Sementara itu, beliau turut menyeru golongan muda dan yang berpendidikan tinggi untuk tampil menawarkan diri bagi membantu membangunkan anak-anak istimewa sekali gus membolehkan mereka menikmati kemakmuran dan kesejahte­raan di negara ini.

Katanya, usaha itu merupakan salah satu langkah ke arah melahirkan masyarakat prihatin dan penyayang di samping turut menggalakkan penglibatan badan-badan amal negeri dalam pelbagai program yang dapat me­lakukan persediaan bagi golo­ngan istimewa itu untuk hidup berdikari dalam masyarakat.

– Sumber : Utusan online

%d bloggers like this: