IPT digalak wujud banyak program TVET

KUALA LUMPUR 12 Jun – Institusi pengajian tinggi (IPT) di negara ini digalakkan mewujudkan lebih banyak program dalam bidang Pendidikan Teknikal dan Latihan Vokasional (TVET) bagi membantu melahirkan tenaga kerja mahir yang diperlukan negara menjelang 2020.

Timbalan Menteri Pendidikan, Datuk P. Kamalanathan berkata, mereka juga digalakkan mengadakan jaringan kerjasama sama ada dalam kalangan IPT tempatan atau luar negara bagi membolehkan berlakunya pertukaran kepakaran dan perkongsian pengetahuan.

“Kita mahu 1.5 juta peluang pekerjaan dalam bidang kemahiran dan teknikal yang akan diwujudkan menjelang 2020 diisi oleh rakyat kita sendiri. Buat masa ini kita banyak bergantung kepada kepakaran asing.

“Sebagai contoh di Pengerang, Johor ketika ini yang merupakan hub industri minyak dan gas, tenaga kerja mahir yang ada sekarang tidak cukup dan kita memerlukan lebih banyak mereka yang berkelayakan dalam bidang TVET,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Konvokesyen Kumpulan Pendidikan SG (SGEG) Ke-5 di sini, hari ini.

Dalam majlis itu, Kamalanathan menyampaikan Diploma Kemahiran Malaysia dalam pelbagai bidang kepada 87 pelajar SGEG yang terdiri daripada Akademi SG, Akademi Informatic dan Akademi Accel Skill.

Yang turut hadir, Pengerusi SGEG, Datuk Sri Ganes; Timbalan Presiden Persatuan Latihan Pendidikan Vokasional Antarabangsa (IVETA) Asia Tenggara, Datuk Baharuddin Abdullah merangkap Penasihat SGEG dan Pengurus Sukan Majlis Sukan Negara (MSN), Datuk M. Magendran.

Menurut Kamalanathan, SGEG antara contoh terbaik IPT di negara ini yang berusaha meningkatkan mutu program TVET yang ditawarkannya apabila mengadakan kerjasama dengan pelbagai pihak.

Antara pihak yang dijalinkan kerjasama itu ialah Universiti Sains Malaysia (USM), Universiti Terbuka Malaysia (OUM), Universiti Teknikal Melaka Malaysia (UTEM) serta institusi-institusi dari luar negara seperti Universiti Malta (Malta) Pengajian Tinggi Teknikal Australia Selatan (Australia), Kolej Gateshead (England).

“SGEG telah mewujudkan program-program kemahiran yang boleh dipelajari belia kita dan sejak diwujudkan pada 1999, institusi ini telah menjadi antara penyumbang tenaga kerja mahir kepada negara.

“Kita berharap lebih banyak IPT dapat mencontohi SGEG dengan menawarkan lebih banyak program TVET. Kemajuan negara kita tertakluk kepada pembangunan bidang ini,” ujarnya. – UTUSAN ONLINE

– Sumber : Utusan online

%d bloggers like this: