Anak Rumah Titian Kaseh manfaatkan Tutor.com.my

Bagi memastikan golongan yang kurang berkemam­puan tidak ketinggalan dalam bidang akademik dan teknologi maklumat (IT), 24 orang penghuni Rumah Titian Kaseh, Shah Alam diberi akses percuma untuk menggunakan portal pembelajaran atas talian Utusan Malaysia, http://www.tutor.com.my.

Pemberian akses percuma selama setahun ini sempena program Jalinan Tansformasi IT bersama Rumah Titian Kaseh oleh 55 mahasiswa Ijazah Sarjana Muda Teknologi Maklumat, Fakulti Sains Komputer dan Matematik (FSKM), Universiti Teknologi Mara (UiTM) di Shah Alam, Selang­or, baru-baru ini.

Pengunaan portal e-pembelajaran http://www.tutor.com.my ini untuk memudahkan penghuni terbabit membuat ulang kaji dan belajar secara elektronik di rumah bagi menghadapi peperiksaan awam Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR), Pentaksiran Tingkatan 3 (PT3) atau Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).

Dekan FSKM, Prof Dr. Azlinah Mohamed berkata, program ini adalah merupakan satu bentuk pendedahan tentang perkemba­ngan IT yang bukan sahaja bermanfaat kepada anak-anak Rumah Titian Kaseh malah kepada mahasiswa yang terlibat.

“Semoga semua yang terlibat bukan sahaja memperoleh ilmu tetapi menjadikannya sebagai pengalaman yang berguna, dan yang penting program ini perlu ada kesinambungan dan berterusan,” katanya.

Program ini merupakan kesinambungan Program Kembara IT pada tahun lepas yang telah menyediakan infrastruktur IT di Rumah Titian Kaseh.

Sementara itu, Penasihat Program, Azhar Abdul Aziz berpendapat, program ini bukan sahaja memberi manfaat kepada anak-anak Rumah Titian Kaseh tetapi kepada mahasiswa untuk mencapai misi dan visi UiTM yang bukan sahaja melahirkan graduan yang berjaya tetapi juga prihatin kepada masyarakat.

“Paling penting, program ini dilihat telah berjaya mencapai objektifnya untuk memberi input kepada anak-anak Rumah Titian Kaseh dalam pengunaan pembe­lajaran elektronik secara atas talian,” katanya.

– Sumber : Utusan online

%d bloggers like this: