Jangan pandang mudah anak istimewa – Rosmah

KUALA TERENGGANU 14 Jun – Masyarakat diminta tidak memandang mudah keupayaan anak-anak istimewa kerana mereka turut mempunyai kelebihan setara atau mungkin lebih hebat berbanding insan sempurna sekiranya potensi diri berjaya digilap.

Isteri Perdana Menteri, Datin Seri Rosmah Mansor berkata, ada dalam kalangan golongan itu yang berjaya, malah turut mengharumkan nama negara antaranya usahawan batik, Teng­ku Arman Harris Tengku Ismail serta dua atlet, Bibiana Ahmad dan Suhaila Abdul Samad yang cemerlang di peringkat antarabangsa.

Sehubungan itu katanya, se­tiap anggota masyarakat ter­uta­ma ibu bapa dan guru-guru di pu­sat pemulihan dalam komuniti (PDK) tidak boleh mengekang minda dengan beranggapan golongan tersebut tidak berupaya untuk memajukan diri.

“Jika dunia membicarakan be­tapa golongan OKU (orang kurang upaya) perlu dibangunkan dari aspek kebajikan dan hak, Islam sejak awal lagi mengiktiraf dan meraikan mereka sebagai insan yang sama tarafnya di sisi Allah.

“Sesungguhnya setiap daripada kita boleh menyumbangkan bakti kepada mereka, tidak semestinya dalam bentuk wang ringgit tetapi sokongan tenaga, kemahiran, masa dan idea juga sangat diperlukan oleh PDK yang melatih anak istimewa,” katanya.

Beliau yang juga Yang Dipertua Badan Amal dan Kebajikan Isteri-isteri Menteri dan Timbalan Menteri (Bakti) berkata demikian ketika berucap dalam majlis Penyampaian Sumbangan Hari Raya Aidilfitri dan Program Semai Bakti kepada pelatih PDK di Pasar Raya Mydin Mall, Gong Badak, di sini hari ini.

Yang hadir sama, Menteri Besar, Ahmad Razif Abdul Rahman dan isteri, Halina Zakaria; Yang Dipertua Dewan Undangan Ne­ge­ri, Datuk Zubir Embong; Setia­u­­saha Kerajaan negeri, Datuk Osman Muda; Setiausaha Jawatankuasa Induk Program Semai Bakti, Prof. Puan Sri. Mizan Adi­li­ah­ Ahmad Ibrahim serta Penga­rah Mydin Mohamed Holdings Bhd­., Datin Wira Dr. Siti Hawa Mohd.

Seramai 250 pelatih dari 45 buah PDK di negeri ini masing-masing menerima sumbangan duit raya.

Terdahulu, Rosmah menyampaikan sumbangan tahunan Aidilfitri berjumlah RM10,000 untuk diagih-agihkan pihak Badan Amal dan Kebajikan Isteri-isteri Wakil Rakyat Negeri Terengganu (Serikandi) kepada pelatih di PDK di sekitar negeri ini yang berdaftar dengan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).

Bakti menyumbang RM10,000 untuk setiap badan amal negeri di seluruh negara yang bekerjasama dengan Program Semai Bakti bagi disalurkan kepada PDK berdaftar.

Sementara itu, beliau turut menyeru golongan muda dan yang berpendidikan tinggi untuk tampil menawarkan diri bagi membantu membangunkan anak-anak istimewa sekali gus membolehkan mereka menikmati kemakmuran dan kesejahte­raan di negara ini.

Katanya, usaha itu merupakan salah satu langkah ke arah melahirkan masyarakat prihatin dan penyayang di samping turut menggalakkan penglibatan badan-badan amal negeri dalam pelbagai program yang dapat me­lakukan persediaan bagi golo­ngan istimewa itu untuk hidup berdikari dalam masyarakat.

– Sumber : Utusan online

Advertisements

Anak Rumah Titian Kaseh manfaatkan Tutor.com.my

Bagi memastikan golongan yang kurang berkemam­puan tidak ketinggalan dalam bidang akademik dan teknologi maklumat (IT), 24 orang penghuni Rumah Titian Kaseh, Shah Alam diberi akses percuma untuk menggunakan portal pembelajaran atas talian Utusan Malaysia, http://www.tutor.com.my.

Pemberian akses percuma selama setahun ini sempena program Jalinan Tansformasi IT bersama Rumah Titian Kaseh oleh 55 mahasiswa Ijazah Sarjana Muda Teknologi Maklumat, Fakulti Sains Komputer dan Matematik (FSKM), Universiti Teknologi Mara (UiTM) di Shah Alam, Selang­or, baru-baru ini.

Pengunaan portal e-pembelajaran http://www.tutor.com.my ini untuk memudahkan penghuni terbabit membuat ulang kaji dan belajar secara elektronik di rumah bagi menghadapi peperiksaan awam Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR), Pentaksiran Tingkatan 3 (PT3) atau Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).

Dekan FSKM, Prof Dr. Azlinah Mohamed berkata, program ini adalah merupakan satu bentuk pendedahan tentang perkemba­ngan IT yang bukan sahaja bermanfaat kepada anak-anak Rumah Titian Kaseh malah kepada mahasiswa yang terlibat.

“Semoga semua yang terlibat bukan sahaja memperoleh ilmu tetapi menjadikannya sebagai pengalaman yang berguna, dan yang penting program ini perlu ada kesinambungan dan berterusan,” katanya.

Program ini merupakan kesinambungan Program Kembara IT pada tahun lepas yang telah menyediakan infrastruktur IT di Rumah Titian Kaseh.

Sementara itu, Penasihat Program, Azhar Abdul Aziz berpendapat, program ini bukan sahaja memberi manfaat kepada anak-anak Rumah Titian Kaseh tetapi kepada mahasiswa untuk mencapai misi dan visi UiTM yang bukan sahaja melahirkan graduan yang berjaya tetapi juga prihatin kepada masyarakat.

“Paling penting, program ini dilihat telah berjaya mencapai objektifnya untuk memberi input kepada anak-anak Rumah Titian Kaseh dalam pengunaan pembe­lajaran elektronik secara atas talian,” katanya.

– Sumber : Utusan online

Pasukan Robin Food juara Cabaran Pereka Cipta Muda Sime Darby

Najib Tun Razak bersama pemenang Cabaran Pereka Cipta Muda Yayasan NAJIB TUN RAZAK bersama pemenang Cabaran Pereka Cipta Muda Yayasan Sime Darby 2016 di Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Pasukan Robin Food yang mencipta aplikasi untuk mengurangkan pembaziran dinobatkan juara sulung Cabaran Pereka Cipta Muda Yayasan Sime Darby 2016 yang berlangsung di Pusat Konvensyen Sime Darby, Kuala Lumpur baru-baru ini.

Ahli pasukan ini ialah Allegra Chan Qin Hur, 16, dari Lodge International School; Ezra Adrian Robert, 15, dari All Saints’ Anglican Academy; Ivan Avannus, 15, dari Sekolah Menengah St. Micheal, Penampang, Sabah dan Joseph Chung, 14, Tunku Putra School, Kuching, Sarawak.

Projek Turning Waste into Millions oleh pasukan ini mengete­ngahkan penyelesaian melalui aplikasi untuk mengurangkan pembaziran makanan dengan menghubungkan masyarakat seperti rumah kebajikan dan pertubuhan bukan kerajaan, dengan hotel serta restoran yang mempunyai lebihan makanan.

Selaku juara, pasukan ini membawa pulang wang tunai RM10,000 dan komputer riba setiap seorang.

Hadiah kepada pemenang di­sampaikan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dan turut dihadiri Pengerusi Yayasan Sime Darby, Tun Musa Hitam.

Pertandingan bertemakan ‘Memerangi Kemiskinan Melalui Inovasi’ ini kali pertama diadakan dengan tujuan menggalakkan golongan pelajar berusia 13 hingga 16 tahun di negara ini berganding tenaga dan mencari penyelesaian dalam menjadikan dunia tempat yang lebih baik untuk didiami.

Seramai 20 pelajar layak ke peringkat akhir kebangsaan daripada 200 pelajar yang telah disenarai pendek dalam pertandingan itu yang fokus terhadap usaha membasmi kemiskinan.

Dalam fasa pertama dan kedua pertandingan, pelajar perlu menyediakan bahan dalam bentuk video, esei atau lukisan.

Di peringkat ketiga, finalis dibawa mengikuti bengkel di empat wilayah yang ditetapkan dan semasa bengkel, pelajar dibahagikan kepada kumpulan untuk membangunkan idea dengan bimbingan mentor yang disediakan oleh penganjur.

Majlis penyampaian hadiah kepada pemenang adalah kemuncak bengkel peringkat kebangsaan yang berlangsung selama lima hari untuk finalis menambah baik idea mereka yang telah dihasilkan di bengkel peringkat wilayah.

– Sumber : Utusan online

IPT digalak wujud banyak program TVET

KUALA LUMPUR 12 Jun – Institusi pengajian tinggi (IPT) di negara ini digalakkan mewujudkan lebih banyak program dalam bidang Pendidikan Teknikal dan Latihan Vokasional (TVET) bagi membantu melahirkan tenaga kerja mahir yang diperlukan negara menjelang 2020.

Timbalan Menteri Pendidikan, Datuk P. Kamalanathan berkata, mereka juga digalakkan mengadakan jaringan kerjasama sama ada dalam kalangan IPT tempatan atau luar negara bagi membolehkan berlakunya pertukaran kepakaran dan perkongsian pengetahuan.

“Kita mahu 1.5 juta peluang pekerjaan dalam bidang kemahiran dan teknikal yang akan diwujudkan menjelang 2020 diisi oleh rakyat kita sendiri. Buat masa ini kita banyak bergantung kepada kepakaran asing.

“Sebagai contoh di Pengerang, Johor ketika ini yang merupakan hub industri minyak dan gas, tenaga kerja mahir yang ada sekarang tidak cukup dan kita memerlukan lebih banyak mereka yang berkelayakan dalam bidang TVET,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Konvokesyen Kumpulan Pendidikan SG (SGEG) Ke-5 di sini, hari ini.

Dalam majlis itu, Kamalanathan menyampaikan Diploma Kemahiran Malaysia dalam pelbagai bidang kepada 87 pelajar SGEG yang terdiri daripada Akademi SG, Akademi Informatic dan Akademi Accel Skill.

Yang turut hadir, Pengerusi SGEG, Datuk Sri Ganes; Timbalan Presiden Persatuan Latihan Pendidikan Vokasional Antarabangsa (IVETA) Asia Tenggara, Datuk Baharuddin Abdullah merangkap Penasihat SGEG dan Pengurus Sukan Majlis Sukan Negara (MSN), Datuk M. Magendran.

Menurut Kamalanathan, SGEG antara contoh terbaik IPT di negara ini yang berusaha meningkatkan mutu program TVET yang ditawarkannya apabila mengadakan kerjasama dengan pelbagai pihak.

Antara pihak yang dijalinkan kerjasama itu ialah Universiti Sains Malaysia (USM), Universiti Terbuka Malaysia (OUM), Universiti Teknikal Melaka Malaysia (UTEM) serta institusi-institusi dari luar negara seperti Universiti Malta (Malta) Pengajian Tinggi Teknikal Australia Selatan (Australia), Kolej Gateshead (England).

“SGEG telah mewujudkan program-program kemahiran yang boleh dipelajari belia kita dan sejak diwujudkan pada 1999, institusi ini telah menjadi antara penyumbang tenaga kerja mahir kepada negara.

“Kita berharap lebih banyak IPT dapat mencontohi SGEG dengan menawarkan lebih banyak program TVET. Kemajuan negara kita tertakluk kepada pembangunan bidang ini,” ujarnya. – UTUSAN ONLINE

– Sumber : Utusan online

Pertingkat ujian air kencing di sekolah

Mohamad Ali
MOHAMAD ALI

 

KUALA LUMPUR 12 Jun – Kementerian Pendidikan diminta mempertingkatkan aspek pelaksanaan ujian air kencing secara rambang di semua sekolah khususnya bagi membanteras penyalahgunaan dadah dalam kalangan pelajar sekolah.Presiden Persatuan Ibu Bapa dan Guru Nasional (PIBGN), Prof. Madya Datuk Dr. Mohamad Ali Hassan berkata, pihak sekolah harus memain peranan penting untuk memastikan pelajar di sekolah bebas daripada najis dadah.

“Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) khususnya perlu mengadakan ujian air kencing sekerap yang mungkin dan bukannya sekali sekala serta merahsiakannya kepada pelajar dan melaksanakan ujian ini sebagai agenda tetap.

“Selain itu, pihak sekolah juga perlu mengadakan ceramah mengenai penyalahgunaan dadah sekerap yang mungkin supaya mereka dapat menghindarkan diri daripada perkara yang tidak berfaedah ini,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.

Utusan Malaysia melaporkan hari ini, Kementerian Pendidikan akan memberi lebih tumpuan kepada sekolah kategori C dalam usaha untuk memastikan isu penyalahgunaan dadah dalam kalangan pelajar sekolah dapat dibanteras.

Menterinya, Datuk Seri Mahdzir Khalid berkata, tindakan itu perlu kerana masalah dadah dalam kalangan pelajar sekolah pada masa kini berada pada tahap yang amat membimbangkan, apatah lagi dengan bekalan dadah yang mudah didapati berbanding dulu.

Sementara itu, Setiausaha Agung Kongres Kesatuan Guru Dalam Perkhidmatan Pelajaran Malaysia (Kongres), Awang Mohamad berkata, kurangnya didikan agama dalam kalangan pelajar juga antara punca mereka mudah terpengaruh dengan mengambil dadah.

“Guru-guru Pendidikan Agama Islam di sekolah terutamanya perlu mengambil tindakan yang sewajarnya seperti memberi bimbingan dan kaunseling kepada pelajar yang terlibat dalam penyalahgunaan dadah kerana rata-rata mereka jahil mengenai agama.

“Selain guru, badan terlibat seperti Persatuan Mencegah Dadah Malaysia (Pemadam) dan Persatuan Pengasih Malaysia (Pengasih) perlu mempergiatkan lagi program kesedaran yang membolehkan pelajar mengetahui bahaya dadah dan kesan kepada mereka,” katanya. – UTUSAN ONLINE

– Sumber : Utusan Online

MRSM untuk anak Polis kedua dibina tahun ini – Ahmad Zahid

Ahmad ZahidAHMAD Zahid Hamidi bergambar bersama anggota bertugas ketika mengadakan lawatan ke Martek PDRM sempena Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Kuala Kangsar hari ini. Turut hadir Menteri Besar Perak, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir (lima, kanan) dan Ketua Polis Perak, Datuk Seri Abdul Rahim Hanafi (empat, kanan). – BERNAMA

KUALA KANGSAR 12 Jun – Timbalan Perdana Menteri berkata, sebuah Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) khusus untuk anak-anak anggota polis akan dibina di Perak tahun ini.

Datuk Seri Dr, Ahmad Zahid Hamidi berkata, pembinaan MRSM untuk anak-anak polis itu adalah yang kedua di negara ini selepas yang pertama di Kulim, Kedah.

“Saya tahu anak-anak kita memerlukan tempat untuk asrama penuh. Ini tiada kena mengena dengan pilihan raya kecil (PRK) Kuala Kangsar.

“Kita tahu anak tentera ada MRSM untuk mereka, jadi anak polis juga kena ada. Kita bukan cemburu dengan pasukan lain tapi saya mahu menghargai anak-anak polis,” katanya ketika berucap semasa mengadakan lawatan ke Markas Taktikal (Martek) polis bagi pilihan raya kecil (PRK) Kuala Kangsar di sini hari ini.

Terdahulu, dalam ucapannya, Ahmad Zahid yang juga Menteri Dalam Negeri turut meminta supaya bayaran elaun khas kepada anggota polis yang bertugas dalam PRK Kuala Kangsar itu dibayar sebelum Aidilfitri.

Mengenai PRK Kuala Kangsar dan Sungai Besar, Ahmad Zahid turut menyifatkannya sebagai PRK paling aman dalam sejarah negara.

PRK Parlimen Kuala Kangsar diadakan berikutan kematian penyandangnya, Datuk Wan Mohammad Khair-il Anuar Wan Ahmad dalam nahas helikopter di Sebuyau Sarawak pada 5 Mei lepas.

Pengundian PKR Kuala Kangsar diadakan serentak dengan PRK Parlimen Sungai Besar pada 18 Jun ini, berikutan kematian penyandangnya, Tan Sri Noriah Kasnon dalam nahas berkenaan. – BERNAMA

– Sumber : Utusan online