Pelajar MMU terima biasiswa RM500,000 dari FiberHome Technologies

CYBERJAYA, 7 JUN 2016-Profesor Dr. Ahmad Rafi Mohamed Eshaq, Presiden Presiden MMU, Profesor Dr. Ahmad Rafi Mohamed Eshaq (3 dari kanan) dan Naib Presiden Kumpulan, FiberHome Technology, Zeng Jun (3 dari kiri) bergambar bersama penerima biasiswa pada majlis penyampaian yang diadakan di sini hari ini. UTUSAN/RASHID MAHFOF

PUTRAJAYA 7 Jun – Seramai empat mahasiswa kejuruteraan Universiti Multimedia (MMU) menerima biasiswa berjumlah RM500,000 daripada sebuah syarikat pembuatan dan penyedia penyelesaian teknologi maklumat yang terkemuka di China iaitu FiberHome Technologies.

Presiden MMU, Profesor Dr. Ahmad Rafi Mohamed Eshaq berkata, penganugerahan tersebut sekali gus melonjakkan nama MMU sebagai sebuah institusi swasta yang berupaya melahirkan bakal jurutera berkualiti selain memberi keyakinan kepada pihak industri terhadap potensi siswazah MMU.

“FiberHome telah memilih universiti yang tepat kerana MMU diiktiraf sebagai universiti terbaik dalam bidang kejuruteraan elektrik dan elektronik oleh World University Rankings pada 2015 dan 2016.

“Bagi pelajar yang sedang mencari tempat untuk memulakan kerjaya mereka maka MMU adalah institusi yang terbaik untuk meningkatkan semangat mereka,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Sementara itu, Naib Presiden FiberHome Technologies, Zeng Jun berkata, biasiswa tersebut sebagai satu cara untuk pihaknya berbakti kepada masyarakat yang telah memainkan peranan penting dalam membantu kejayaan syarikat.

“FiberHome sentiasa berusaha untuk mendapatkan tenaga kerja yang berkualiti dan ini amat bertepatan langkah syarikat menganugerahkan biasiswa kepada mahasiswa MMU yang merupakan institusi kejuruteraan terbaik di Malaysia,” katanya.

– Sumber : Utusan online

%d bloggers like this: