Diganti baharu Semua sekolah daif di Sarawak

MAHDZIR KHALID
KUALA LUMPUR 9 Jun – Kementerian Pendidikan akan membina sekolah baharu bagi menggantikan semula sekolah-sekolah daif termasuk yang dikategorikan beri­siko tinggi di Sarawak.

Menterinya, Datuk Seri Mahdzir Khalid berkata, pembinaan semula itu akan menggunakan teknologi Sistem Bangunan Berindustri (IBS) dan dijangka siap dalam tempoh lapan minggu.

Jelas beliau, pada masa ini pihaknya telah meluluskan pembinaan untuk 20 sekolah baharu di negeri itu yang akan mempunyai enam bilik darjah.

“Kementerian sudah mempunyai perancangan untuk pembinaan bangunan baharu di negeri itu dan ia akan dilaksanakan secara berperingkat.

“Kita mengambil berat sekolah-sekolah daif dan amat prihatin terhadap sekolah-sekolah berisiko tinggi dan kita akan beri keutamaan segera,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

Semalam, beberapa bangunan Sekolah Kebangsaan (SK) Kampung Buda, Spaoh di Betong runtuh ke dalam sungai sehingga mengalami kerosakan 80 peratus dan disahkan tidak selamat untuk beroperasi.

Berikutan itu, Timbalan Ketua Menteri Sarawak, Datuk Amar Douglas Uggah Embas menggesa Kementerian Pendidikan memberi perhatian serius terhadap 486 buah sekolah lain yang turut dikategorikan berisiko tinggi di negeri ini bagi mengelak insiden runtuhan seumpamanya berulang berlaku.

Dalam pada itu. Mahdzir berkata, kedaifan sekolah-sekolah di Sarawak pernah mendapat perhatian Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak pada Januari lalu ketika beliau melawat ke SK Sungai Ladong, Batang Sadong di Simunjan, Bintulu.

Katanya, Perdana Menteri mencadangkan pembinaan bangunan baharu mengunakan sistem IBS yang akan dilaksanakan secara berperingkat bagi memastikan sekolah-sekolah luar bandar di Sarawak mendapat kemudahan lebih baik.

“Ketika ini kita telah mengenal pasti kira-kira 170 sekolah di pedalaman Sarawak rosak teruk dan usang yang akan digantikan dengan bangunan baharu,” katanya.

– Sumber : Utusan online

%d bloggers like this: