Pelajar MMU terima biasiswa RM500,000 dari FiberHome Technologies

CYBERJAYA, 7 JUN 2016-Profesor Dr. Ahmad Rafi Mohamed Eshaq, Presiden Presiden MMU, Profesor Dr. Ahmad Rafi Mohamed Eshaq (3 dari kanan) dan Naib Presiden Kumpulan, FiberHome Technology, Zeng Jun (3 dari kiri) bergambar bersama penerima biasiswa pada majlis penyampaian yang diadakan di sini hari ini. UTUSAN/RASHID MAHFOF

PUTRAJAYA 7 Jun – Seramai empat mahasiswa kejuruteraan Universiti Multimedia (MMU) menerima biasiswa berjumlah RM500,000 daripada sebuah syarikat pembuatan dan penyedia penyelesaian teknologi maklumat yang terkemuka di China iaitu FiberHome Technologies.

Presiden MMU, Profesor Dr. Ahmad Rafi Mohamed Eshaq berkata, penganugerahan tersebut sekali gus melonjakkan nama MMU sebagai sebuah institusi swasta yang berupaya melahirkan bakal jurutera berkualiti selain memberi keyakinan kepada pihak industri terhadap potensi siswazah MMU.

“FiberHome telah memilih universiti yang tepat kerana MMU diiktiraf sebagai universiti terbaik dalam bidang kejuruteraan elektrik dan elektronik oleh World University Rankings pada 2015 dan 2016.

“Bagi pelajar yang sedang mencari tempat untuk memulakan kerjaya mereka maka MMU adalah institusi yang terbaik untuk meningkatkan semangat mereka,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Sementara itu, Naib Presiden FiberHome Technologies, Zeng Jun berkata, biasiswa tersebut sebagai satu cara untuk pihaknya berbakti kepada masyarakat yang telah memainkan peranan penting dalam membantu kejayaan syarikat.

“FiberHome sentiasa berusaha untuk mendapatkan tenaga kerja yang berkualiti dan ini amat bertepatan langkah syarikat menganugerahkan biasiswa kepada mahasiswa MMU yang merupakan institusi kejuruteraan terbaik di Malaysia,” katanya.

– Sumber : Utusan online

Advertisements

MARTABATKAN BAHASA MELAYU

SALAH seorang peserta bertanyakan soalan kepada ahli panel dalam SALAH seorang peserta bertanyakan soalan kepada ahli panel dalam program Bicara Persada bertajuk Bahasa Kebangsaan Dalam Pendidikan Tinggi: Terpahat atau Terpinggir? di UKM, Bangi, baru-baru ini. UTUSAN/SHAIFUDIN MOHD. NOR

PADA 18 Mei lalu genaplah usia Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) ke-46. Dengan usia yang cukup matang itu, UKM kini boleh berbangga dengan kedudukannya sebagai salah satu universiti awam utama di negara ini sekali gus menjadi antara pilihan para pelajar untuk melanjutkan pengajian ke peringkat pendidikan tinggi.

Bukan sahaja dalam kalangan pelajar tempatan malah UKM turut menjadi tumpuan pelajar luar negara terutama pengajian di peringkat sarjana dan doktor falsafah (PhD). Semuanya ini adalah hasil daripada usaha keras warga UKM lebih empat puluh tahun yang lalu.

Jika disusuri kembali sejarah penubuhannya secara rasmi iaitu pada 18 Mei 1970, objektif diwujudkan UKM itu adalah untuk memartabatkan bahasa Melayu sebagai Bahasa Kebangsaan dan bahasa ilmu tinggi dan pada masa sama memberi lebih banyak peluang kepada pelajar-pelajar Melayu melanjutkan pelajaran ke universiti dalam pelbagai bidang termasuk sains dan teknologi.

Penubuhan UKM juga adalah hasil kesungguhan serta iltizam politik para pemimpin Melayu ketika itu yang diketuai oleh Perdana Menteri, Tun Abdul Razak Hussain. Beliau kemudian dilantik sebagai Canselor UKM yang pertama bermula 7 Julai 1970 hingga 14 Januari 1976 sebelum diganti dengan Almarhum Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Ja’afar Almarhum Tuanku Abdul Rahman.

Berbalik kepada matlamat asal penubuhan UKM, boleh dikatakan universiti awam tersebut berjaya mengangkat martabat bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu tinggi sejak mula-mula ditubuhkan dengan menjadikan bahasa itu sebagai bahasa pengantar di semua fakulti. Paling istimewa pensyarah yang ditugaskan mengajar wajib menggunakan bahasa Melayu dalam kuliah walaupun mereka terdiri daripada pelbagai bangsa dan negara seperti Amerika Syarikat (AS) mahupun Eropah.

Sebelum mengajar di fakulti yang ditetapkan mereka terpaksa mempelajari bahasa Melayu bagi tujuan pembelajaran digunakan dalam bahasa itu. Perkara tersebut diakui sendiri oleh Felo Utama Institut Alam Sekitar dan Pembangunan (Lestari), UKM, Prof. Emeritus Datuk Dr. Ibrahim Komoo yang juga bekas Naib Canselor Universiti Malaysia Terengganu (UMT). Beliau ialah antara kumpulan pelajar Melayu terawal yang melanjutkan pengajian di UKM dalam bidang sains. Beliau memasuki UKM pada 1972 dan berjaya menamatkan pengajian di peringkat ijazah sarjana muda (sains) pada 1976.

Dalam satu pertemuan selepas menjadi ahli panel Bicara Persada ke-30 yang bertajuk Bahasa Kebangsaan Dalam Pendidikan Tinggi: Terpahat atau Terpinggir? di UKM baru-baru ini, beliau memberitahu semua pensyarah­nya mengajar dalam bahasa Melayu tanpa masalah walaupun buku rujukan setiap subjek yang berkaitan sains adalah dalam bahasa Inggeris.

Selain beliau, Pengerusi Lembaga Pengarah Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), Tan Sri Zulkifli Abdul Razak dan Ketua Eksekutif, Yayasan Karyawan, Datuk Zainal Abidin Borhan turut dijemput sebagai ahli panel manakala Syed Munawar Syed Mustar bertindak sebagai moderator.

“Pensyarah saya ada yang dari Eropah dan AS. Mereka mengajar kami dalam bahasa Melayu. Kami faham apa yang mereka sampaikan meski­pun buku-buku rujukan dalam bahasa Inggeris. Bagi kami itu tidak menjadi masalah,” ujarnya.

Sebagai pelajar terawal UKM, Ibrahim yang juga pakar geologi berkata, sebagai universiti yang ditubuhkan untuk mengangkat martabat bahasa Melayu ilmu tinggi di negara ini, UKM sebenarnya berjaya menggalas tugas tersebut dengan baik.

Bermula 1970 katanya, UKM tidak menoleh ke belakang sebaliknya terus memperjuangkan bahasa Melayu dalam sistem pengajiannya di setiap fakulti termasuk fakulti perubatan. Selain sesi pengajian dalam kuliah, UKM juga membudayakan bahasa Melayu dalam penyelidikan, seminar, penulisan jurnal, penulisan ilmiah, kertas kerja dan tesis.

“Akhirnya pada 1990, saya boleh katakan penggunaan bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu tinggi telah mencakupi semua disiplin ilmu dalam semua bidang. Malah UKM juga muncul sebagai universiti awam yang berjaya melahirkan pakar-pakar perubatan yang mampu mengaplikasikan penggunaan bahasa Melayu ilmu tinggi dalam bidang mereka,” katanya lagi.

Begitu juga dalam bidang-bidang lain khususnya sains dan teknologi, UKM berada paling hadapan dalam konteks menjadikan bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu tinggi. Pada tahun 2000 berlaku pula proses pemantapan bahasa Melayu ilmu tinggi di universiti tersebut namun prosesnya agak perlahan selepas itu disebabkan perubahan dasar. Pada masa itu pihak universiti berada dalam persimpangan sama ada mahu meneruskan matlamat asal perjuangan penubuhan atau sebaliknya.

Bagaimanapun Ibrahim dalam pertemuan itu tetap optimis kegemilangan bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu tinggi sebagaimana yang pernah berlaku antara tahun 1970 hingga 2000 mampu dikembalikan semula cuma usaha tersebut memerlukan iltizam semua pihak termasuk politik dan pimpinan peringkat universiti.

“Saya yakin ahli akademik yang ada di negara ini amat mengharapkan era itu dikembalikan kerana bagi kami bahasa Melayu sebenarnya adalah satu bahasa yang cukup hebat dan mampu menjadi bahasa ilmu tinggi setanding dengan bahasa Jepun, Jerman, Korea, Cina, Sepanyol dan Portugal,” kata beliau ketika menutup bicara.

– Sumber : Utusan online

Sekolah baharu RM3 juta ganti SK Buda

TaskaSebahagian daripada taska dan bangunan Sekolah Kebangsaan Buda Spaoh di Betong yang runtuh baru-baru ini. GAMBAR/FB KAMEK MIAK SARAWAK

KUCHING 9 Jun – Kerajaan negeri Sarawak meluluskan kawasan seluas tiga hektar untuk membina sekolah baharu bagi menempatkan Sekolah Kebangsaan (SK) Kampung Buda di Spaoh selepas 80 peratus bangunan sekolah itu musnah akibat hakisan tebing Sungai Saribas pada 2.45 pagi semalam.

Menteri Kebajikan, Wanita dan Pembangunan Keluarga Sarawak, Datuk Fatimah Abdullah berkata, sekolah baharu itu yang terletak 2.5 kilometer dari sekolah asal, dibina dengan anggaran kos RM3 juta.

Bagi menyegerakan pembinaan sekolah itu, beliau berkata ia akan dibina menggunakan teknik Sistem Binaan Berindustri (IBS) dan sistem itu telah digunakan bagi pembinaan enam sekolah di negeri itu.

Fatimah berkata demikian pada sidang akhbar bersama Timbalan Ketua Menteri Datuk Amar Doughlas Uggah Embas, Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) Saribas Mohd Razi Sitam dan Pengarah Pendidikan Negeri Rakayah Madon di bangunan Dewan Undangan Negeri di sini hari ini.

“Ini adalah langkah jangka panjang yang kami telah bincangkan dan dipersetujui oleh Ketua Menteri Tan Sri Adenan Satem,” katanya. – BERNAMA

– Sumber : Utusan online

Diganti baharu Semua sekolah daif di Sarawak

MAHDZIR KHALID
KUALA LUMPUR 9 Jun – Kementerian Pendidikan akan membina sekolah baharu bagi menggantikan semula sekolah-sekolah daif termasuk yang dikategorikan beri­siko tinggi di Sarawak.

Menterinya, Datuk Seri Mahdzir Khalid berkata, pembinaan semula itu akan menggunakan teknologi Sistem Bangunan Berindustri (IBS) dan dijangka siap dalam tempoh lapan minggu.

Jelas beliau, pada masa ini pihaknya telah meluluskan pembinaan untuk 20 sekolah baharu di negeri itu yang akan mempunyai enam bilik darjah.

“Kementerian sudah mempunyai perancangan untuk pembinaan bangunan baharu di negeri itu dan ia akan dilaksanakan secara berperingkat.

“Kita mengambil berat sekolah-sekolah daif dan amat prihatin terhadap sekolah-sekolah berisiko tinggi dan kita akan beri keutamaan segera,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

Semalam, beberapa bangunan Sekolah Kebangsaan (SK) Kampung Buda, Spaoh di Betong runtuh ke dalam sungai sehingga mengalami kerosakan 80 peratus dan disahkan tidak selamat untuk beroperasi.

Berikutan itu, Timbalan Ketua Menteri Sarawak, Datuk Amar Douglas Uggah Embas menggesa Kementerian Pendidikan memberi perhatian serius terhadap 486 buah sekolah lain yang turut dikategorikan berisiko tinggi di negeri ini bagi mengelak insiden runtuhan seumpamanya berulang berlaku.

Dalam pada itu. Mahdzir berkata, kedaifan sekolah-sekolah di Sarawak pernah mendapat perhatian Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak pada Januari lalu ketika beliau melawat ke SK Sungai Ladong, Batang Sadong di Simunjan, Bintulu.

Katanya, Perdana Menteri mencadangkan pembinaan bangunan baharu mengunakan sistem IBS yang akan dilaksanakan secara berperingkat bagi memastikan sekolah-sekolah luar bandar di Sarawak mendapat kemudahan lebih baik.

“Ketika ini kita telah mengenal pasti kira-kira 170 sekolah di pedalaman Sarawak rosak teruk dan usang yang akan digantikan dengan bangunan baharu,” katanya.

– Sumber : Utusan online