Satu badan selaras ‘ekosistem’ TVET

Program Advokasi Ilmuwan - Pengajian Tinggi Teknikal: Ke Mana

Program Advokasi Ilmuwan – Pengajian Tinggi Teknikal: Ke Mana Arah Tuju? dihadiri tiga ahli panel iaitu Prof. Emeritus Datuk Dr. Hassan Said (dua dari kiri), Prof. Sulaiman Hassan (dua dari kanan) dan Prof. Emeritus Datuk Dr. Kamarudin Hussin (kanan) di Kampus Unimap, Pauh Putra, Arau, Perlis, baru-baru ini.

Pendidikan Teknikal dan Latihan Vokasional (TVET) semakin sinonim dengan masyarakat di negara ini kebelakangan ini. Kita menyedari betapa ekonomi Korea Selatan telah berjaya mencatat perkembangan luar biasa hasil kemajuan latihan TVET kepada rakyatnya.

Sebagai contoh, di negara-negara maju pula, upah untuk mendapatkan khidmat seorang tukang paip dan juruteknik begitu mahal sehingga membuatkan kita terpaksa berfikir lebih dua kali untuk menghubungi mereka.

Namun di negara kita, di manakah kedudukan golongan ini yang sebahagian besar dilahirkan oleh antaranya kolej vokasional dan politeknik? Adakah mereka mendapat bayaran setimpal dengan perkhidmatan diberikan?

Di peringkat lebih tinggi, kita juga mempunyai graduan-graduan jurutera yang dihasilkan menerusi bidang TVET iaitu yang mempelajari lebih banyak amali berbanding teori iaitu 60-70 peratus (amali): 40-30 peratus (teori). Adakah nasib mereka serupa dan diletakkan sebaris dengan jurutera konvensional yang dilahirkan oleh universiti awam (UA) lain?

Itu persoalan yang terus bermain di fikiran ibu bapa dan bakal mahasiswa yang ingin memasuki TVET walaupun realitinya bidang ini sudah dibangunkan di negara ini sejak 2001 menerusi penubuhan berperingkat empat buah kolej universiti yang kemudian dinaik taraf sebagai UA.

Empat universiti itu adalah Universiti Malaysia Perlis (Unimap), Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM), Universiti Malaysia Pahang (UMP) dan Universiti Teknikal Malaysia (Utem).

Lebih malang apabila pada 2007, timbul persoalan bahawa graduan dan bakal graduan lulusan TVET tidak diiktiraf kerana gagal mencukupi syarat untuk menjadi seorang jurutera konvensional.

Inilah detik paling mencabar empat UA tersebut sehingga kehilangan kepercayaan, lebih-lebih lagi sudah tentu nasib graduan dan bakal graduan TVET terumbang-ambing.

Menurut Naib Canselor Universiti Teknologi Mara (UiTM), Prof. Emeritus Datuk Dr. Hassan Said, perkara itu terjadi kerana ketiadaan satu badan yang berfungsi untuk menyelaras ‘ekosistem’ TVET di negara ini.

Difahamkan terdapat tujuh badan seperti Lembaga Teknologi Malaysia (MBOT) yang menentukan TVET dan tidak termasuk pelbagai kementerian dan jabatan.

Ujar Hassan, maka sebab itu timbul isu graduan dalam bidang tersebut dianggap sebagai kelas kedua, graduan tidak menepati kehendak pasaran selain masyarakat kurang kefahaman tentang TVET.

“Mestilah ada satu badan dari kalangan pembuat dasar yang mengkoordinasi semua ‘pemain’ TVET yang hanya menggunakan satu standard. Kita tidak boleh serahkan kepada mana-mana kementerian (dilantik menjadi badan) kerana bias kepada kementerian lain,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas menjadi antara tiga panel Forum Advokasi Ilmuwan : Pendidikan Tinggi Teknikal-Ke mana Arah Tuju anjuran Majlis Profesor Negara, RTM dan Utusan Malaysia di Kampus Tetap Unimap di Pauh Putra di Perlis, baru-baru ini.

Dua panel lain ialah Penasihat Menteri Pengajian Tinggi, Prof. Emeritus Datuk Dr. Kamarudin Hussin yang juga bekas Naib Canselor Unimap dan Pensyarah Kejuruteraan Mekanikal dan Pembuatan UTHM, Prof. Sulaiman Hassan.

Turut hadir Penolong Ketua Pengarang Utusan Malaysia, Datuk Hassan Mohd. Noor selain kira-kira 600 pelajar baharu, kakitangan dan pensyarah Unimap.

Dalam pada itu, disebabkan ketiadaan badan menguruskan TVET juga telah menyebabkan graduan diploma dari 52 buah Kolej Vokasional di bawah Kementerian Sumber Manusia dikhuatiri tidak boleh menyambung pengajian di mana-mana UA (Kementerian Pengajian Tinggi).

Perkara itu disuarakan Ka­ma­rudin yang memberitahu, ia berlaku disebabkan pelajar-pelajar tersebut tidak mengambil pe­periksaan utama seperti rakan-rakan lain iaitu Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM).

“Justeru, adalah sukar jika mereka ingin melanjutkan pengajian ke peringkat lebih tinggi di universiti kerana kita terpaksa mengajar subjek bahasa, Matematik dan sebagainya,” katanya.

Tambah Kamarudin, disebabkan ketiadaan badan khusus mengenai TVET sehingga kini menyebabkan tiada maklumat lengkap tentang graduan yang dilahirkan dalam bidang itu.

“Kita tiada data tentang nasib bilangan graduan TVET yang tidak diambil bekerja sejak 2013. Janganlah hasilkan graduan TVET tetapi kita tidak ambil tahu apa yang berlaku selepas itu,” katanya.

Dr. Hassan, Kamarudin dan Sulaiman adalah individu yang bertanggungjawab di peringkat awal penubuhan kolej-kolej universiti teknikal di negara ini sehingga kini berstatus universiti.

– Sumber : Utusan online

%d bloggers like this: