GiatMara tambah 
empat kursus baharu

Armand Azha Abu Hanifah

Armand Azha Abu Hanifah

TEMERLOH 6 Jun– GiatMara akan menambah empat kursus baharu tahun ini bagi meningkatkan daya saing pelatih serta tenaga kerja mahir yang dihasilkan di institusi latihan kemahiran berkenaan.

Timbalan Pengerusinya, Datuk Armand Azha Abu Hanifah berkata, penambahan kursus itu selari dengan keperluan negara, sekali gus memberi peluang lebih ramai belia dan lepasan sekolah mengikuti latihan dan kursus kemahiran di GiatMara.

Katanya, antara kursus baharu yang dikenal pasti ialah minyak dan gas, pembaikan motosikal berkuasa tinggi, komputer, reka bentuk grafik dan animasi.

“Kursus baharu itu adalah tambahan kepada 65 kursus dan latihan sedia ada di 231 buah pusat GiatMara seluruh negara sekali gus memberi impak besar terhadap bekalan tenaga mahir negara menjelang 2020.

“Kursus dan latihan tersebut akan mengambil masa antara tiga bulan, enam bulan dan setahun bergantung kepada jenis kursus yang diambil,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

Armand Azha berkata, beliau berbangga kerana lebih 60 pe­ratus daripada 300,000 lulusan GiatMara berjaya mendapat pekerjaan dengan tawaran gaji lumayan.

“Kursus baharu itu nanti dijangka menarik lebih ramai belia dan lepasan sekolah kerana turut menjanjikan gaji yang lumayan apabila tamat kursus.

“GiatMara kini melatih lebih 20,000 pelatih pada setiap tahun yang terdiri daripada tenaga muda yang berminat dalam bidang kemahiran, pertukangan dan keusahawanan,” katanya.

Beliau berkata, GiatMara menyasarkan sekurang-kurangnya 50 peratus pekerja mahir dapat dihasilkan setiap tahun melalui kursus dan program dilaksanakan di institut kemahiran berkenaan.

– Sumber : Utusan online

%d bloggers like this: