Satu badan selaras ‘ekosistem’ TVET

Program Advokasi Ilmuwan - Pengajian Tinggi Teknikal: Ke Mana

Program Advokasi Ilmuwan – Pengajian Tinggi Teknikal: Ke Mana Arah Tuju? dihadiri tiga ahli panel iaitu Prof. Emeritus Datuk Dr. Hassan Said (dua dari kiri), Prof. Sulaiman Hassan (dua dari kanan) dan Prof. Emeritus Datuk Dr. Kamarudin Hussin (kanan) di Kampus Unimap, Pauh Putra, Arau, Perlis, baru-baru ini.

Pendidikan Teknikal dan Latihan Vokasional (TVET) semakin sinonim dengan masyarakat di negara ini kebelakangan ini. Kita menyedari betapa ekonomi Korea Selatan telah berjaya mencatat perkembangan luar biasa hasil kemajuan latihan TVET kepada rakyatnya.

Sebagai contoh, di negara-negara maju pula, upah untuk mendapatkan khidmat seorang tukang paip dan juruteknik begitu mahal sehingga membuatkan kita terpaksa berfikir lebih dua kali untuk menghubungi mereka.

Namun di negara kita, di manakah kedudukan golongan ini yang sebahagian besar dilahirkan oleh antaranya kolej vokasional dan politeknik? Adakah mereka mendapat bayaran setimpal dengan perkhidmatan diberikan?

Di peringkat lebih tinggi, kita juga mempunyai graduan-graduan jurutera yang dihasilkan menerusi bidang TVET iaitu yang mempelajari lebih banyak amali berbanding teori iaitu 60-70 peratus (amali): 40-30 peratus (teori). Adakah nasib mereka serupa dan diletakkan sebaris dengan jurutera konvensional yang dilahirkan oleh universiti awam (UA) lain?

Itu persoalan yang terus bermain di fikiran ibu bapa dan bakal mahasiswa yang ingin memasuki TVET walaupun realitinya bidang ini sudah dibangunkan di negara ini sejak 2001 menerusi penubuhan berperingkat empat buah kolej universiti yang kemudian dinaik taraf sebagai UA.

Empat universiti itu adalah Universiti Malaysia Perlis (Unimap), Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM), Universiti Malaysia Pahang (UMP) dan Universiti Teknikal Malaysia (Utem).

Lebih malang apabila pada 2007, timbul persoalan bahawa graduan dan bakal graduan lulusan TVET tidak diiktiraf kerana gagal mencukupi syarat untuk menjadi seorang jurutera konvensional.

Inilah detik paling mencabar empat UA tersebut sehingga kehilangan kepercayaan, lebih-lebih lagi sudah tentu nasib graduan dan bakal graduan TVET terumbang-ambing.

Menurut Naib Canselor Universiti Teknologi Mara (UiTM), Prof. Emeritus Datuk Dr. Hassan Said, perkara itu terjadi kerana ketiadaan satu badan yang berfungsi untuk menyelaras ‘ekosistem’ TVET di negara ini.

Difahamkan terdapat tujuh badan seperti Lembaga Teknologi Malaysia (MBOT) yang menentukan TVET dan tidak termasuk pelbagai kementerian dan jabatan.

Ujar Hassan, maka sebab itu timbul isu graduan dalam bidang tersebut dianggap sebagai kelas kedua, graduan tidak menepati kehendak pasaran selain masyarakat kurang kefahaman tentang TVET.

“Mestilah ada satu badan dari kalangan pembuat dasar yang mengkoordinasi semua ‘pemain’ TVET yang hanya menggunakan satu standard. Kita tidak boleh serahkan kepada mana-mana kementerian (dilantik menjadi badan) kerana bias kepada kementerian lain,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas menjadi antara tiga panel Forum Advokasi Ilmuwan : Pendidikan Tinggi Teknikal-Ke mana Arah Tuju anjuran Majlis Profesor Negara, RTM dan Utusan Malaysia di Kampus Tetap Unimap di Pauh Putra di Perlis, baru-baru ini.

Dua panel lain ialah Penasihat Menteri Pengajian Tinggi, Prof. Emeritus Datuk Dr. Kamarudin Hussin yang juga bekas Naib Canselor Unimap dan Pensyarah Kejuruteraan Mekanikal dan Pembuatan UTHM, Prof. Sulaiman Hassan.

Turut hadir Penolong Ketua Pengarang Utusan Malaysia, Datuk Hassan Mohd. Noor selain kira-kira 600 pelajar baharu, kakitangan dan pensyarah Unimap.

Dalam pada itu, disebabkan ketiadaan badan menguruskan TVET juga telah menyebabkan graduan diploma dari 52 buah Kolej Vokasional di bawah Kementerian Sumber Manusia dikhuatiri tidak boleh menyambung pengajian di mana-mana UA (Kementerian Pengajian Tinggi).

Perkara itu disuarakan Ka­ma­rudin yang memberitahu, ia berlaku disebabkan pelajar-pelajar tersebut tidak mengambil pe­periksaan utama seperti rakan-rakan lain iaitu Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM).

“Justeru, adalah sukar jika mereka ingin melanjutkan pengajian ke peringkat lebih tinggi di universiti kerana kita terpaksa mengajar subjek bahasa, Matematik dan sebagainya,” katanya.

Tambah Kamarudin, disebabkan ketiadaan badan khusus mengenai TVET sehingga kini menyebabkan tiada maklumat lengkap tentang graduan yang dilahirkan dalam bidang itu.

“Kita tiada data tentang nasib bilangan graduan TVET yang tidak diambil bekerja sejak 2013. Janganlah hasilkan graduan TVET tetapi kita tidak ambil tahu apa yang berlaku selepas itu,” katanya.

Dr. Hassan, Kamarudin dan Sulaiman adalah individu yang bertanggungjawab di peringkat awal penubuhan kolej-kolej universiti teknikal di negara ini sehingga kini berstatus universiti.

– Sumber : Utusan online

Advertisements

Bengkel Sains dan Matematik Tutor UPSR 
dedah teknik menjawab soalan KBAT

Musa Ismail (baris kedua, tengah) bersama murid-murid dan guru
Musa Ismail (baris kedua, tengah) bersama murid-murid dan guru menunjukkan akhbar Pendidikan Utusan Malaysia, Tutor sempena Bengkel Matematik dan Sains UPSR di Pejabat Pendidikan Daerah Hulu Langat, Selangor, semalam. utusan/Riduan Rizal Ahmad

HULU LANGAT 6 Jun – Pendedahan teknik menjawab soalan berasaskan Kemahiran Berfikir Aras Tinggi (KBAT) menjadi tarikan utama dalam Bengkel Sains dan Matematik Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) anjuran Persatuan Penduduk Kejiranan Taman Kasih (PPKTK) di sini hari ini.

Selain itu, program dengan kerjasama Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Hulu Langat dan akhbar pendidikan terbitan Utusan Malaysia, Tutor itu turut menampilkan guru-guru berpengalaman.

Ketua Unit Akademik Pejabat Pelajaran Daerah (PPD) Hulu Langat, Musa Ismail berkata, program itu diadakan bagi membantu murid-murid tahun enam yang menghadapi kesukaran te­rutama dalam subjek Matematik dan Sains.

“Hasil kajian kami dapati kebanyakan murid menghadapi masalah dalam mata pelajaran Matematik dan bagaimana mahu menjawab soalan KBAT kerana mereka ini hanya sekadar membaca.

“Jadi, bengkel ini mengetengahkan guru-guru berpengalaman dan teknik menjawab soalan KBAT untuk memberikan pemahaman yang menyeluruh kepada murid-murid,” katanya ketika ditemui selepas Bengkel Sains dan Matematik UPSR hari ini.

Bengkel yang disertai 200 murid dari lima buah sekolah di sekitar Kajang, Semenyih, Serdang dan Cheras menggunakan Tutor sebagai bahan rujukan yang dilihat telah memudahkan penceramah menyampaikan pengajaran mereka.

Sementara itu, Timbalan Pengerusi PPKTK, Mohd. Feizal Abu Samah berkata, pihaknya memberikan fokus kepada UPSR kerana ia akan menentukan arah tuju anak-anak komuniti itu apabila bersekolah menengah nanti.

“Pihak PPKTK sangat berterima kasih kepada PPD kerana memberi kebenaran kepada kami untuk menggunakan kemudahan di sini. Diharapkan program seperti ini dapat diteruskan pada masa depan,” katanya.

– Sumber : Utusan online

GiatMara tambah 
empat kursus baharu

Armand Azha Abu Hanifah

Armand Azha Abu Hanifah

TEMERLOH 6 Jun– GiatMara akan menambah empat kursus baharu tahun ini bagi meningkatkan daya saing pelatih serta tenaga kerja mahir yang dihasilkan di institusi latihan kemahiran berkenaan.

Timbalan Pengerusinya, Datuk Armand Azha Abu Hanifah berkata, penambahan kursus itu selari dengan keperluan negara, sekali gus memberi peluang lebih ramai belia dan lepasan sekolah mengikuti latihan dan kursus kemahiran di GiatMara.

Katanya, antara kursus baharu yang dikenal pasti ialah minyak dan gas, pembaikan motosikal berkuasa tinggi, komputer, reka bentuk grafik dan animasi.

“Kursus baharu itu adalah tambahan kepada 65 kursus dan latihan sedia ada di 231 buah pusat GiatMara seluruh negara sekali gus memberi impak besar terhadap bekalan tenaga mahir negara menjelang 2020.

“Kursus dan latihan tersebut akan mengambil masa antara tiga bulan, enam bulan dan setahun bergantung kepada jenis kursus yang diambil,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

Armand Azha berkata, beliau berbangga kerana lebih 60 pe­ratus daripada 300,000 lulusan GiatMara berjaya mendapat pekerjaan dengan tawaran gaji lumayan.

“Kursus baharu itu nanti dijangka menarik lebih ramai belia dan lepasan sekolah kerana turut menjanjikan gaji yang lumayan apabila tamat kursus.

“GiatMara kini melatih lebih 20,000 pelatih pada setiap tahun yang terdiri daripada tenaga muda yang berminat dalam bidang kemahiran, pertukangan dan keusahawanan,” katanya.

Beliau berkata, GiatMara menyasarkan sekurang-kurangnya 50 peratus pekerja mahir dapat dihasilkan setiap tahun melalui kursus dan program dilaksanakan di institut kemahiran berkenaan.

– Sumber : Utusan online

Siti Sa’adiah dilantik Pengerusi Lembaga Pengarah UUM

Siti Saadiah
Siti Sa’adiah

KUALA LUMPUR 6 Jun – Pengarah KPJ Healthcare Berhad, Tan Sri Siti Sa’adiah Sheikh Bakir dilantik sebagai Pengerusi Lembaga Pengarah Universiti Utara Malaysia (UUM) untuk tempoh tiga tahun berkuat kuasa pada 1 Jun lalu sehingga 31 Mei 2019.Pelantikan itu menjadikan Siti Sa’adiah, 63, yang pernah ber­khid­mat sebagai Pengarah Urusan KPJ Healthcare selama 19 tahun sebagai wanita pertama memegang jawatan Pengerusi Lembaga Pengarah bagi universiti berkenaan.

Naib Canselor UUM, Prof. Datuk Seri Dr. Mohamed Mustafa Ishak dalam satu kenyataan di sini hari ini berkata, pelantikan itu dibuat menerusi surat yang dikeluarkan oleh Kementerian Pendidikan Tinggi bertarikh 24 Mei lalu selaras Seksyen 16 (a) Perlembagaan UUM.

Jelas beliau, Siti Sa’diah yang berpengalaman luas dalam sektor swasta, juga merupakan ahli Jawatankuasa Akademik Razak School of Government dan mengang­gotai beberapa Jawatankuasa Universiti seperti Universiti Malaya (UM) dan Universiti of Reading Malaysia.

“Bagi pihak seluruh warga UUM, saya ingin me­rakamkan ucapan tahniah dan mengalu-alukan pelantikan Siti Sa’diah,” katanya.

Kata Mohamed Mustafa, pengalaman luas Siti Sa’diah dalam sektor korporat dan swasta diyakini dapat membantu memacu UUM sebagai sebuah universiti pengurusan dan perniagaan yang terkemuka di negara ini.

Beliau turut menyampaikan penghargaan dan terima kasih kepada bekas Pengerusi Lembaga Pengarah UUM, Tan Sri Samsudin Osman yang menamatkan perkhidmatan pada 30 April lalu.

– Sumber : Utusan online