Mantapkan penguasaan pelajar dalam subjek Bahasa Inggeris

PROFESOR Kejuruteraan Kimia Universiti kebangsaan Malaysia, Prof. Dato’ Ir Dr. Wan Ramli Wan Daud. – Foto Khairul Azhar Ahmad

KUALA LUMPUR: Kementerian Pendidikan disaran untuk mengkaji semula kaedah pengajaran dan pembelajaran mata pelajaran Bahasa Inggeris di sekolah untuk memantapkan penguasaannya di kalangan pelajar. Tindakan mengajar Sains dan Teknologi dalam bahasa Inggeris melalui Program Dwibahasa (DLP) bukan saja menafikan kemampuan bahasa kebangsaan sebagai bahasa ilmu, bahkan boleh menjejaskan peluang pelajar terutama dari luar bandar. Ini kerana Pengarah Institut Islam Hadhari, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof Datuk Dr Mohd Yusuf Othman, berkata sains ialah pemahaman tabii alam secara sistematik, mantik dan objektif, sekali gus bukan mengenai bahasa. “Tiada tamadun yang dibangunkan dengan bahasa bukan ibunda. Pada zaman kegemilangan Islam di Baghdad pada tahun 786 menyaksikan terjemahan buku asing ke bahasa Arab,” katanya ketika menyampaikan ucaptama Seminar Penyelidikan Bahasa: Merealisasikan Sains dan Teknologi Melalui Bahasa Kebangsaan di Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) di sini, hari ini. Yang turut hadir ialah Pengarah Jabatan Dasar dan Penyelidikan DBP Rosli Abd Ghani dan Presiden Akademi Sains Islam Malaysia, Prof Datuk Ir Dr Wan Ramli Wan Daud. Mohd Yusuf berkata, pengajaran sains dan teknologi dalam bahasa Inggeris bukan saja menjejaskan subjek itu sendiri, bahkan merencatkan pembinaan jati diri, nilai patriotisme serta pembangunan mengikut acuan tempatan. “Kita tidak menafikan kepentingan bahasa Inggeris tetapi jangan sampai menafikan kemampuan bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu,” katanya. Sementara itu, Wan Ramli yang juga Felo Penyelidik Utama Institut Sel Fuel UKM berkata, sekiranya Kementerian Pendidikan mahu meningkatkan penguasaan bahasa Inggeris di kalangan pelajar, adalah lebih baik supaya pengajaran subjek itu dimantapkan. Beliau berkata, bahasa Inggeris bukan satu-satunya bahasa yang mampu mengajar sains dan teknologi atau membawa kepada penemuan baharu dalam bidang itu. “Kita sudah melahirkan banyak golongan profesional dan sarjana sebelum pelaksanaan Dasar Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI). “Logik yang mengatakan mengajar Matematik, Sains dan Teknologi dalam bahasa Inggeris menjadikan pelajar lebih berjaya adalah salah,” katanya.

Sumber: Berita Harian