Wujud badan selaras ‘ekosistem’ TVET

Hassan Said (dua dari kiri), Sulaiman Hassan (dua dari kanan)

Hassan Said (dua dari kiri), Sulaiman Hassan (dua dari kanan) dan Kamarudin Hussin (kanan) antara ahli panel dalam Forum Advokasi Ilmuwan bertemakan Pendidikan Tinggi Teknikal: Ke Mana Arah Tuju? di Kampus Tetap Unimap, Ulu Pauh, Arau, Perlis, semalam.

PADANG BESAR 31 Mei – Kerajaan menerusi jawatankuasa kerja Kabinet perlu mewujudkan satu badan yang berfungsi untuk menyelaras ‘ekosistem’ Pendidikan Teknikal dan Latihan Vokasional (TVET) di negara ini.

Ini bagi memastikan tidak timbul isu graduan dalam bidang itu dianggap sebagai kelas kedua, graduan tidak menepati kehendak pasaran selain dapat meningkatkan kefahaman TVET kepada masyarakat.

Naib Canselor Universiti Tek­nologi Mara (UiTM), Prof. Emeritus Datuk Dr. Hassan Said berkata, ketika ini tiada mana-mana badan dari kalangan pembuat dasar yang boleh mengkordinasi TVET sehingga mencapai satu tahap standard.

“Terdapat banyak ‘pemain’ dalam TVET mempunyai hala tuju dan menggunakan kaedah masing-masing yang akhirnya melemahkan bidang itu.

“Jika ini dapat dilakukan, ma­syarakat akan lebih faham dan yakin dengan TVET serta menghantar anak-anak mereka mengikuti pengajian TVET,” katanya.

Beliau berkata demikian da­­­lam sidang akhbar selepas menjadi antara tiga panel Forum Advokasi Ilmuwan bertemakan Pendidikan Tinggi Teknikal: Ke Mana Arah Tuju? anjuran Maj­lis Profesor Negara, RTM dan Utusan Malaysia di Kampus Tetap Universiti Malaysia Perlis (Unimap) di Ulu Pauh, di sini hari ini.

Dua panel yang lain ialah Penasihat Menteri Pengajian Tinggi, Prof. Emeritus Datuk Dr. Kamarudin Hussin yang juga bekas Naib Canselor Unimap dan Pensyarah Kejuruteraan Mekanikal dan Pembuatan Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM), Prof. Sulaiman Hassan.

Turut hadir Penolong Ketua Pengarang Kumpulan Utusan, Datuk Hassan Mohd. Noor.

Dr. Hassan, Kamarudin dan Sulaiman adalah individu yang bertanggungjawab di peringkat awal penubuhan kolej-kolej universiti teknikal di negara ini sehingga kini berstatus universiti.

Kira-kira 600 pelajar baharu, kakitangan dan pensyarah Unimap hadir bagi mendengar forum tersebut.

Dalam pada itu, Kamarudin menyifatkan perlunya diwujudkan satu ‘jambatan’ yang menghubungkan antara para graduan dari 52 buah Kolej Vokasional di seluruh negara dengan universiti awam dan swasta.

Kata beliau, ini ekoran graduan dari kolej vokasional tidak mengikuti pembelajaran seperti rakan-rakan lain yang mengambil Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM).

“Justeru, adalah sukar jika me­reka ingin melanjutkan pengajian ke peringkat lebih tinggi di universiti kerana kita terpaksa mengajar subjek bahasa, matematik dan sebagainya,” katanya.

Tambah Kamarudin, ketiadaan badan khusus mengenai TVET sehingga kini menyebabkan tiada maklumat tentang graduan yang dilahirkan dalam bidang itu.

“Kita tiada data tentang nasib bilangan graduan TVET yang tidak diambil bekerja sejak 2013. Janganlah hasilkan graduan TVET tetapi kita tidak ambil tahu apa yang berlaku selepas itu,” katanya.

Rakaman video Forum Advo­kasi Ilmuwan bertemakan Pendidikan Tinggi Teknikal: Ke Mana Arah Tuju? bo­leh ditonton di Utusan Online.

– Sumber : Utusan online

%d bloggers like this: