Wacana menggilap Permata

BANGI, 29 Mei -- Sekumpulan pelajar antarabangsa yang terpesona

PROGRAM Permata yang diwujudkan hasil ilham isteri Perdana Menteri, Datin Seri Rosmah Mansor, telah mencetuskan transformasi dalam bidang pendidikan awal kanak-kanak. Kanak-kanak dan remaja dari pelbagai latar belakang diberi peluang membangun potensi diri dan kemampuan masing-masing.

Tujuh inisiatif Per­ma­ta mempunyai objektifnya tersendiri.

Permata Negara yang diba­ngunkan sejak 2007 memberi tumpuan membangunkan modal insan seawal usia empat tahun sebagai persediaan memasuki prasekolah.

Permata Seni pula menggilap bakat pelajar cemerlang akademik dan seni manakala Permata Insan melatih pelajar dalam pendidikan Sains, Teknologi Kejuruteraan dan Matematik (STEM) seiring ilmu agama berlandaskan al-Quran dan as-Sunnah.

Di bawah Perkasa Remaja, golongan remaja yang terdedah gejala sosial dilatih dengan nilai kepimpinan. Permata Kurnia pula program khas yang membantu kanak-kanak autisme dan juga projek pembangunan Hospital Pakar Kanak-kanak Permata.

Bagi mengetengahkan tujuh pro­gram Permata tersebut kepada ma­syarakat umum dan berkongsi pengalaman dan maklumat de­ngan me­reka yang terlibat dalam bidang berkaitan, Bahagian Permata, Jabatan Perdana Menteri, menganjurkan Persidang­an Antarabangsa Permata (PIC) 2016 mulai hari ini hingga 2 Jun ini di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC).

Persidangan percuma ini akan menampilkan pakar-pakar dalam bidang berkaitan program Permata bagi mengetengahkan pe­nemuan terkini dalam kajian dan pembangunan bidang masing-masing. Para peserta persidangan dibahagikan mengikut kecenderung­an bidang yang terdapat dalam tujuh program Permata tersebut.

Bagi program Permata Insan, ucaptama akan disampaikan oleh Tan Sri Profesor Dr. Mohd. Kamal Hassan, Profesor Ulung di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) yang bertajuk, Shaping Muslim Scholars for the World.

Tajuk, Unveiling STEM in Al-Quran and Sunnah pula akan dibincangkan dengan mendalam oleh dua tokoh pendidikan iaitu Profesor Datuk Dr. Mohd. Yusof Othman dari Institut Islam Hadhari, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dan Pengarah Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM), Profesor Datin Dr. Azizan Baharuddin.

Dalam kita mengejar kepesatan pembangunan dunia dan inovasi sains dan teknologi, kedua-dua pakar akan mengingatkan bagaimana Islam me­ngetengahkan kepentingan bidang STEM yang berlandaskan al-Quran dan sunnah selari de­ngan matlamat kehidupan kita sebagai hamba dan tanggungjawab kita sebagai khalifah di muka bumi kurniaan Allah ini.

Ketua Pengarah Kementerian Pendidikan Tinggi, Profesor Datuk Dr. Asma Ismail bersama-sama Naib Canselor, Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), Profesor Datuk Dr. Musa Ahmad pula akan memperhalusi tajuk menarik, Naqli and Aqli in Gifted Education. Kedua-dua tokoh pendidikan ini adalah pakar dalam kedua-dua ilmu ini dan banyak menghasilkan idea yang menjurus kepada pemantap­an integrasi ilmu naqli dan aqli di universiti.

Pengalaman dan pengetahuan dalam proses integrasi ilmu tersebut akan dijuruskan kepada pendidikan pelajar pintar dan berbakat Islam yang menjadi salah satu agenda universiti khususnya di institusi pendidikan USIM sendiri, Kolej Permata Insan.

Konsep pendidikan pintar dan berbakat yang agak baru di negara ini perlu satu pemahaman yang tepat agar model pendidikan pintar dan berbakat bagi pelajar Islam dapat diterap dan dilaksana di seluruh negara Islam pada suatu hari nanti.

Pengerusi Lembaga Pengurusan USIM, Profesor Tan Sri Dzulkifli Abdul Razak, akan turut berkongsi pemikiran beliau dalam tajuk, Nurturing Young Noble Personality (Al-Abrar).

Sesuai dengan matlamat program Permata Insan melahirkan pelajar dengan kualiti Al-Abrar, syarahan ini pastinya menjadi salah satu tarikan utama kepada para pendidik dan ibu bapa yang mahu teknik mendidik dan mela­hirkan pelajar dan anak-anak dengan kualiti perwatakan sehebat insan yang bergelar Al-Abrar.

Timbalan Naib Canselor Akademik dan Antarabangsa USIM, Profesor Dr. Zulkiple Abd. Ghani dan Dekan Fakulti Pengajian Quran dan Sunnah, Profesor Madya Dr. Adnan Mohamed Yusoff pula akan bersama-sama mengupas tajuk pendidikan Islam yang kontemporari dan pada masa sama menjadi amalan tradisional yang cukup dekat di hati masyarakat Islam di negara ini iaitu, The Art of Hafazan: Effective Technique.

Ringkasnya, PIC 2016 bakal menjadi majlis ilmu yang menzahirkan rangkuman maklumat, pengalaman dan pengetahuan amat berharga buat para peserta.

PENULIS ialah Penyelaras Hal Ehwal Akademik, Kolej Permata Insan, USIM.

– Sumber : Utusan online