Tumpu empat perkara penting – Rosmah

NAJIB TUN RAZAK merasmikan Persidangan Antarabangsa Permata 2016

NAJIB TUN RAZAK merasmikan Persidangan Antarabangsa Permata 2016 sambil disaksikan Rosmah Mansor di PWTC, Kuala Lumpur, semalam. Utusan/FAUZI BAHARUDIN

KUALA LUMPUR 31 Mei – Empat perkara penting dalam pendidikan kanak-kanak perlu diberi penekanan bagi memastikan golongan itu sentiasa bersedia menghadapi cabaran masa depan.

Penaung Program Permata Negara (Permata), Datin Seri Rosmah Mansor berkata, pelaburan dalam pendidikan awal kanak-kanak yang berkualiti merupakan antara empat perkara yang dilaksanakan oleh Permata sejak ditubuhkan pada 2005.

Menurutnya, semua konsep yang diguna pakai itu berpandukan prinsip pendidikan berkualiti dan holistik perlu bermula dari peringkat awal lagi.

“Tiga perkara lain termasuk kemahiran berfikir dan belajar untuk membuat keputusan secara beretika harus disemai dalam sistem pendidikan negara dari peringkat pengajian awal sehingga tinggi.

“Selain itu, mendidik kanak-kanak untuk membangunkan visi global yang aman, tiada keganasan, keadilan, hak asasi manusia, demokrasi, kepelbagaian budaya dan kesedaran terhadap alam sekitar serta bersikap inklusif dan mengasah bakat kanak-kanak turut merupakan perkara penting yang perlu dipraktikkan,” kata­nya.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucaptama Persidangan Antarabangsa Permata 2016 yang berlangsung di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di sini hari ini.

Terdahulu Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak merasmikan persidangan selama tiga hari bermula hari ini.

Mengulas lanjut Rosmah berkata, pendidikan dan penjagaan awal kanak-kanak (ECEC) yang berkualiti akan mengasah potensi dan nilai yang ada dalam diri mereka.

Katanya, kajian yang dijalankan selama beberapa dekad menunjukkan bahawa pengalaman dan persekitaran yang dilalui kanak-kanak memberi kesan kepada perkembangan otak dan mempengaruhi kejayaan akademik selain memberi kesan sepanjang hayat.

“Kanak-kanak mengalami semua jenis rangsangan dan otak membentuk perhubungan yang penting bagi pembangunan kognitif, fizikal, emosi, etika, rohani dan tingkah laku serta pembangunan sosial.

“Jika kita gagal memberi permulaan terbaik dalam kehidupan mereka dikhuatiri boleh menyebabkan kita menanggung kesan apabila kanak-kanak membesar menjadi orang dewasa yang bermasalah,” jelasnya.

Secara keseluruhannya jelas beliau, Permata tidak hanya menumpukan kepada aspek intelek dan kemahiran semata-mata, tetapi merangkumi pelbagai aspek seperti senaman, pemakanan seimbang dan kehidupan yang sihat bagi pembangunan fizikal.

– Sumber : Utusan online

%d bloggers like this: