Tambah baik kurikulum teknikal

KUALA LUMPUR 20 MEI 2016 - Naib Canselor Universiti Malaysia Perli PROGRAM Advokasi Ilmuwan Majlis Profesor Negara (MPN) bersama Utusan Malaysia dan Radio Televisyen Malaysia (RTM) diadakan di Universiti Malaysia Perlis (Unimap) hari ini.
Program berkenaan bertujuan membincangkan sejauh mana kursus pengajian teknikal yang ditawarkan di universiti dan institut latihan relevan dengan keperluan pihak industri.

Dalam wawancara dengan wartawan Utusan Malaysia, NI ZAM YATIM dan jurugambar, FAI SOL MU STAFA di Kuala Lumpur, barubaru ini, Naib Canselor universiti berkenaan, PROF. DATUK DR. ZUL AZHAR ZAHID JAMAL menegaskan mengenai perlunya kurikulum teknikal di universiti ditambah baik dari semasa ke semasa.

KENAPA tajuk ini dipilih?

ZUL AZHAR: Ini adalah tajuk yang menarik sebab kita, baik universiti awam (UA) atau swasta banyak melahirkan graduan teknikal, jurutera, ahli teknologi dan sebagainya.

Persoalan yang timbul sekarang, adakah graduan yang kita lahir ini memenuhi kehendak pihak industri yang kita tahu memerlukan pekerja yang mempunyai kemahiran bersifat khusus dan lebih fokus.

Bidang pekerjaan teknikal ini kita dapati sering berlaku perubahan dalam jangka masa pendek dengan pengenalan teknologi terbaharu.

Jadi apa yang kita ajar ataupun yang dipelajari sekarang ini mungkin dalam masa terdekat, dua tiga tahun ke depan sudah menjadi tidak relevan lagi. Sehubungan itu, kursus yang ditawarkan di universiti perlu ditambah baik supaya sentiasa relevan dengan kehendak pihak industri.

Adakah Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (Pendidikan Tinggi) 2015-2025 turut menyentuh mengenai pendidikan teknikal?

Ya, ada. Kalau tak salah saya lonjakan keempat contohnya adalah hendak memperkasakan Latihan Pendidikan Teknikal dan Vokasional (TVET). Memang pihak kerajaan mempunyai agenda untuk memberi tumpuan kepada program kemahiran di peringkat universiti.

Ini melibatkan Unimap dan tiga UA lain yang termasuk dalam rangkaian universiti teknikal Malaysia iaitu Universiti Teknikal Malaysia Melaka (Utem), Universiti Malaysia Pahang (UMP) dan Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM). Unimap akan menjadi peneraju dalam inisiatif untuk memperkasakan TVET.

Bolehkah dicapai matlamat Program Transformasi Ekonomi (ETP) untuk meningkatkan bilang­an lulusan TVET sebanyak 2.5 kali ganda menjelang 2025?

Saya melihat dalam perspektif yang mungkin berbeza sedikitlah. Saya berbalik kepada 12 bidang yang disenaraikan di bawah ETP ini. Kalau dilihat bidang ber­kenaan, semuanya ada, termasuk pelancongan, kewangan, elektronik serta minyak dan gas.

Pihak universiti perlu lihat semula pendekatan mereka dan juga bidang yang hendak difokuskan supaya kursus berkenaan re­levan dan selari dengan inisiatif ETP.

Selain itu, kita ada banyak institut latihan kemahiran lain yang mengajar TVET seperti Institut Latihan Perindustrian (ILP), Institut Kemahiran Belia Negara (IKBN) dan kolej-kolej swasta.

Jadi semua organisasi ini perlu memainkan peranan penting ini bersama-sama dengan UA untuk memastikan modal insan yang diperlukan untuk menjayakan ETP adalah mencukupi.

Kenapakah jumlah mahasiswa dalam kalangan yang mendapat kelulusan terbaik Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) di peringkat pengajian tinggi teknikal masih rendah?

Itulah satu cabaran yang perlu kita sama-sama tangani. Kalau kita tengok ibu bapa dan pelajar sekarang yang mereka nampak laluan pendidikan hanyalah yang melibatkan bidang akademik.

Maknanya laluan pendidikan tradisional dengan matlamat nak menjadi doktor, peguam dan lain-lain. Bagi mereka laluan TVET adalah kelas kedua dan untuk mereka yang lemah dalam pelajaran sahaja. Perkara ini tidak benar kerana kalau kita lihat di negara-negara maju seperti di Eropah dan Korea Selatan, laluan TVET adalah sama penting dengan laluan akademik.

Malah kalau kita lihat pihak industri, mereka lebih mahukan graduan yang melalui laluan TVET ini. Kita perlu memberi tumpuan pada TVET kerana tidak mahu berlaku seperti di Korea Selatan sebelum ini apabila graduan laluan akademik terpaksa belajar semula dengan mengikuti latihan kemahiran dan vokasional kerana sukar mendapat pekerjaan.

Perlukah diwujudkan lebih banyak universiti khusus untuk bidang teknikal?

Pada saya jumlah empat UA yang kita ada sekarang ini sudah boleh menampung latihan dalam bidang kejuruteraan dan teknologi. Tetapi kita akui definisi TVET ini luas, jadi pihak-pihak lain se­perti ILP, IKBN dan GiatMara perlu sama-sama membantu menyediakan latihan kemahiran dalam bidang-bidang lain yang diperlukan oleh sektor pekerjaan.

Apakah yang diharapkan daripada program advokasi ini?

Kita mengharapkan dengan ada­nya penerangan oleh golongan profesor ini masyarakat akan lebih faham tentang bidang pendidikan teknikal.

Kita mahu orang ramai membuang tanggapan salah kononnya TVET ini adalah pendidikan kelas kedua untuk mereka yang kurang berjaya dari segi akademik. Tanggapan ini adalah salah kerana pendidikan tinggi teknikal adalah satu keperluan yang pen­ting untuk membawa Malaysia menjadi sebuah negara maju.

Kalau dari segi pembangunan kerjaya, graduan dalam bidang ini akan mendapat gaji lebih besar. Dengan adanya program advokasi ini, kita berharap sedikit sebanyak dapat mengikis persepsi salah itu yang masih wujud dalam kalang­an ibu bapa dan masyarakat.

– Sumber : Utusan online

%d bloggers like this: