Ghana berminat pelajari program Permata – Menteri

Najib

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dan isterinya, Datin Seri Rosmah Mansor bersama Presiden Maldives, Abdulla Ya­meen Abdul Gayoom (tiga, kiri) serta isterinya, Fathimath Ibrahim (tiga, kanan) bergambar dengan wanita pertama negara-negara dan delegasi-delagasi yang menghadiri Persidangan Permata Antarabangsa 2016 di Pusat Dagangan Dunia Putra, siang tadi. – BERNAMA

KUALA LUMPUR 31 Mei – Ghana berminat untuk mempelajari lebih lanjut mengenai cara-cara inovatif yang dilaksanakan oleh Malaysia dalam mempromosikan pendidikan awal kanak-kanak di bawah program Permata.

Menteri Gender, Kanak-kanak dan Perlindungan Sosial Ghana, Nana Oye Lithur berkata, kaedah pengajaran yang berbeza digunakan untuk menerajui usaha membantu kanak-kanak dalam kehidupan, termasuk mereka yang menghidap autisme.

“Kami sangat teruja. Kami percaya bahawa apa yang kami pelajari dapat membantu untuk meningkatkan proses penjagaan awal kanak-kanak dan pembangunannya di Ghana,” katanya kepada pemberita di luar Persidangan Antarabangsa Permata (PIC) 2016 di sini hari ini.

Oye Lithur berkata, apa yang paling diingati beliau mengenai isi ucaptama penaung Permata, Datin Seri Rosmah Mansor ialah perkara-perkara yang dibangkitkan tentang perlunya mendidik, memupuk dan membimbing kanak-kanak ke arah masa depan.

Sementara itu, Wanita Pertama Republik Guinea Hadja Djene Kaba Conde dalam ucapan beliau pada forum itu berkata, bertukar-tukar pengalaman antara peserta persidangan adalah satu daripada cara untuk memastikan kejayaan kanak-kanak.

Wanita Pertama Gambia, Zineb Yahya Jammeh, memuji inisiatif Rosmah mengadakan PIC 2016 dan berharap negara-negara akan mendapat suntikan semula tenaga ke arah mencari penyelesaian terhadap masalah yang wujud dalam sistem pendidikan mereka.

Forum tersebut menyaksikan kehadiran Ratu Swaziland, Ratu Khontaphi Nomsa Matsebula; isteri Presiden Zambia, Esther Lungu; Isteri Perdana Menteri Belize, Kim Simplis Barrow dan isteri Presiden Maldives, Fatimah Ibrahim.

Persidangan tiga hari itu dirasmikan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.

Lebih 1,900 delegasi dari 29 negara, terdiri daripada pakar-pakar dalam penjagaan dan pendidikan awal kanak-kanak menghadiri 2016 PIC yang berlangsung sehingga Khamis.

Bertemakan ‘Children Beyond Tomorrow’, PIC 2016 berfungsi sebagai wadah untuk berkongsi amalan dan inisiatif terbaik dalam pendidikan kanak-kanak seperti dipromosikan melalui tujuh program Permata – Permata Negara, Permata Pintar, Permata Seni, Permata Insan, Permata Kurnia, Perkasa Remaja dan Hospital Pakar Kanak-kanak Permata. – BERNAMA

– Sumber : Utusan online

%d bloggers like this: