40,000 daftar jelajah pendidikan

Raja NONG CHIK RAJA ZAINAL (kanan) menyampaikan penghargaan kepada

RAJA NONG CHIK RAJA ZAINAL (kanan) menyampaikan penghargaan kepada Guru Besar Sekolah Kebangsaan Bangsar, Noriah Ismail sambil disaksikan Sahol Hamid Abu Bakar (dua dari kanan) selepas perasmian program Jelajah Pendidikan Bumiputera di sekolah berkenaan di Kuala Lumpur, semalam. Utusan/AMIR KHALID

KUALA LUMPUR 31 Mei – Lebih 40,000 pelajar telah mendaftar bagi penempatan pembelajaran sepanjang program Jelajah Pendidikan Bumiputera 2016 yang melibatkan 64 kawasan di seluruh negara.

Pengerusi Jawatankuasa Induk program, Prof. Tan Sri Sahol Hamid Abu Bakar berkata, jumlah itu melangkaui sasaran awal program tersebut sebanyak 37,000 pendaftaran.

“Ibu bapa dilihat memanfaatkan sepenuhnya program ini bagi memastikan anak-anak mereka berpeluang meneruskan pengajian sejajar dengan harapan Perdana Menteri yang mahu menyaksikan golongan bumiputera mempunyai kelulusan akademik sewajarnya bagi menjamin masa depan individu,” katanya dalam sidang akhbar selepas menghadiri siri jelajah terakhir program itu di Sekolah Kebangsaan Bangsar di sini hari ini.

Perasmian majlis itu disempurnakan oleh Ketua UMNO Bahagian Lembah Pantai, Datuk Seri Raja Nong Chik Raja Zainal.

Yang hadir sama, Pengerusi Gerakan Pendidikan Bumiputera Malaysia, Datuk Mohd. Faizal Daud dan Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Destini Anak Bangsa, Datuk Mohd. Aizuddin Mohd. Ghazali.

Jelajah Pendidikan Bumiputera merupakan antara inisiatif kerajaan dalam membangunkan pendidikan dalam kalangan bumiputera cemerlang miskin dan kurang kemampuan dengan memberi peluang kepada mereka melanjutkan pengajian di peringkat tinggi sekali gus menangani masalah keciciran.

Menerusi inisiatif tersebut, sebanyak 150,000 pelajar dalam kumpulan berkenaan disasarkan dalam tempoh tiga tahun untuk menyambung pengajian mereka di 10 buah institusi pengajian tinggi melibatkan Universiti Teknologi Mara (UiTM), Universiti Kuala Lumpur (UniKL), politeknik, Kolej Komuniti dan Giat Mara.

Institusi lain yang turut disenaraikan ialah Kolej Kemahiran Tinggi Mara, Kolej Poly-Tech Mara (KPTM), Institut Kemahiran Mara (IKM), Institut Kemahiran Belia Negara (IKBN) dan Pusat Latihan Pertanian Kebangsaan (NATC).

Ditanya kemungkinan program itu akan diteruskan pada masa hadapan, Sahol Hamid memberitahu, ia terpulang kepada keperluan semasa.

“Ini sesuatu yang menjadi teras perjuangan kita. Matlamat kita bukan kejar kuasa tetapi bagaimana kuasa dalam tangan itu kita buat yang terbaik untuk masyarakat,” katanya.

Dalam pada itu, Raja Nong Chik berkata, kemahiran membaiki kereta, menjahit dan pertukangan mampu memberi pulangan yang lumayan jika digunakan sebaiknya daripada golongan makan gaji.

– Sumber : Utusan online

%d bloggers like this: