Rangka pelan pendidikan khas

SITI NORHAWA MOHD. ALI  |  30 Mei 2016 1:10 AM

SEBAHAGIAN pelajar lepasan SPM bertanya mengenai tawaran tempat

SEBAHAGIAN pelajar lepasan SPM bertanya mengenai tawaran tempat di IPT dan institut kemahiran sempena program Jelajah Pendidikan Bumiputera (JPB) 2016 cawangan Wangsa Maju, Kuala Lumpur, semalam. Utusan/FARIZ RUSADIO

Pengerusi Jawatankuasa Induk Jelajah Pendidikan Bumiputera, Tan Sri Dr. Sahol Hamid Abu Bakar berkata, kementerian harus memberi fokus kepada pelajar miskin yang tidak mampu membiayai kos pendidikan dan belanja harian ketika menyambung pelajaran.

Jelasnya, perkara itu penting kerana pelajar yang keciciran berpotensi untuk terlibat dengan pelbagai masalah sosial yang men-yumbang kepada ketidakstabilan keamanan negara.

“Kita perlu menyediakan platform untuk anak-anak golongan kurang berkemampuan termasuk anak yatim, anak peneroka, anak petani, anak nelayan serta Orang Asli untuk turut sama merasai arus pembelajaran di menara gading dan institusi kemahiran.

“Meskipun banyak usaha yang telah dilakukan, peratusan pelajar Melayu keciciran masih tinggi bermakna kita perlu menggandakan usaha untuk memastikan mereka ini dapat melanjutkan pelajaran dan boleh berdikari untuk mencari pendapatan sendiri,” katanya ketika ditemui dalam program Jelajah Pendidikan Bumiputera (JPB) 2016 cawangan Wangsa Maju di sini hari ini.

Yang turut hadir Ketua Barisan Nasional (BN) Kawasan Wangsa Ma­ju, Datuk Dr. Mohd. Shafei Abdullah.

Mengulas mengenai JPB 2016, Sahol Hamid berkata, setakat ini seramai 32,000 pelajar yang gagal melanjutkan pengajian telah ditawarkan tempat di institusi pengajian tinggi (ipt) dan institut kemahiran menerusi program tersebut.

“Siri jelajah ini sudah pergi ke 57 lokasi di seluruh negara dan terdapat tiga lagi kawasan sebelum berakhir pada Julai 2016.

“Siri ini juga merupakan salah satu usaha kerajaan memperkasakan pendidikan tinggi bumiputera agar setanding dengan bangsa-bangsa lain,” katanya.

 

Sumber :  Utusan Online

http://www.utusan.com.my/pendidikan/sekolah/rangka-pelan-pendidikan-khas-1.336433

%d bloggers like this: