PETRONAS peruntuk RM110j taja 391 pelajar

KUALA NERUS: PETRONAS memperuntukkan RM110 juta bagi menaja 391 pelajar melalui Program Penajaan Pendidikan PETRONAS (PESP) pada tahun ini. Naib Presiden Kanan Pengurusan Sumber Manusia Kumpulan PETRONAS, Datuk Raiha Azni Abd Rahman, berkata komitmen berkenaan dilaksanakan melalui inisiatif pelaburan sosial korporat yang berteraskan tiga fokus utama iaitu pendidikan, kebajikan dan pembangunan masyarakat serta pemuliharaan alam sekitar. “Tajaan ini diberikan kepada pelajar lepasan Sijil Pendidikan Malaysia (SPM) 2015 yang bakal melanjutkan pelajaran dalam bidang kejuruteraan kimia, kejuruteraan petroleum, mekanikal, geofizik, kewangan, serta perundangan berkaitan industri minyak dan gas di Universiti Teknologi Petronas (UTP) serta universiti luar negara di Amerika, United Kingdom, Australia, New Zealand dan Kanada. “Melalui PESP, pihak kami akan menaja pelajar dari peringkat pengajian pra universiti hingga ke peringkat Ijazah Sarjana Muda,” katanya kepada media selepas Majlis Penyampaian Tajaan Pendidikan kepada 48 pelajar Terengganu, di Institut Teknologi Petroleum PETRONAS di Batu Rakit, di sini. Pada majlis itu, PETRONAS turut bertukar memorandum perjanjian dengan Yayasan Amir bagi Penajaan Sekolah Amanah. Menerusi perjanjian MOA di bawah program Kementerian Pendidikan itu, lima sekolah di Kemaman akan ditaja PETRONAS pada tahun ini bagi melaksanakan program pendidikan selama lima tahun. Sementara itu, Raiha berkata, sejak 1975 sejumlah RM3 bilion dilaburkan PETRONAS untuk membiayai pendidikan lebih 35,000 pelajar cemerlang.

Sumber: Berita Harian